Kafa belum putus asa

   

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ternyata belum berputus asa dan akan terus berusaha melengkapkan dokumen diperlukan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk pemain import, Seydi L Imam.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya belum menyerah selepas kegagalan mendaftar pemain itu sebelum ini.

"Kami baru saja membaca kenyatan FMLLP kegagalan mendaftar Seydi (Imam) di media sosial.

"Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah akan terus mencuba supaya Seydi L Imam dapat bermain dengan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam.

Malaysiakini semalam melaporkan hasrat Kelantan mendapatkan khidmat pemain import itu tidak kesampaian apabila FMLLP menolak Kafa susulan kegagalan memenuhi kriteria diperlukan dalam pendaftaran Liga Malaysia

Menurut Afandi, FMLLP perlu memaklumkan kriteria yang diperlukan bagi meluluskan permohonan pendaftaran pemain import dari Perancis itu agar pihaknya dapat melengkapkan permohonan.

"Ini kerana kita sudah membuat permohonan dan ia ditolak. Jadi apa saja kriteria yang dikatakan tidak lengkap, kami akan lengkapkan.

"Buat masa ini kami akan cuba menyelesaikan isu status pemain (Imam) dahulu," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Sementara itu, menurut beliau Kafa akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan beberapa isu lain termasuk tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Bagi isu-isu lain (tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN) akan dibincangkan kemudian kerana masih ada lagi tempoh sehingga berakhir 31 Oktober ini," jelasnya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.