Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Walau sasar 5 emas, skuad pelayaran tetap optimis

Skuad pelayaran negara optimis mampu mengulangi kejayaan yang dicapai di Singapura dua tahun lepas, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Pada temasya 2015, skuad pelayaran kebangsaan hanya menyasarkan tiga pingat emas, namun berjaya meraih tujuh emas daripada 20 emas dipertandingkan, sekali gus muncul penyumbang kedua terbanyak pingat emas buat negara selepas skuad terjun yang meraih lapan emas.

Pada Sukan SEA kali ini, biarpun hanya 14 pingat emas ditawarkan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Megat Fairuz Khairuddin yakin skuad negara mampu mengulangi kejayaan cemerlang itu.

"Walaupun sasaran kita kali ini hanya lima pingat emas, pelayar negara mampu mengulangi kejayaan lepas. Apa yang penting mereka perlu kekalkan fokus untuk teruskan momentum kejayaan.

"Ini kerana, pasukan seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Myanmar sudah semestinya berusaha keras untuk meraih pingat pada temasya kali ini," katanya kepada Bernama.

Seramai 22 pelayar akan membawa cabaran negara pada Sukan SEA 2017 dalam 14 acara, melibatkan tujuh acara lelaki, enam kategori wanita dan satu acara campuran.

Megat Fairuz berkata sandaran pingat emas negara adalah dalam acara International 420 lelaki, International 470 wanita, optimis pasukan campuran dan beberapa acara individu.

"Persediaan atlet kini pada fasa ketiga dan akhir iaitu fasa persiapan spesifik. Kebanyakan pelayar sedang mengharungi latihan dan kejohanan di luar negara, termasuk di Eropah, Singapura dan Thailand," katanya.

Acara pelayaran Sukan SEA 2017 akan berlangsung di Pusat Pelayaran Kebangsaan di Langkawi, dari 21 hingga 29 Ogos.

-Bernama

Lihat Komen
ADS