Kim Swee congak kesebelasan utama lepas raya

       

Pengendali skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee akan mencongak kesebelasan utama pasukannya bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pemilihan barisan pemain itu akan dilakukan setelah selesai sesi latihan fasa kedua yang akan diadakan selepas sambutan Hari Raya ini.

"Kita akan memanggil semula pemain pada 5 Julai, dan buat masa ini masih terlalu awal bagi saya membuat keputusan untuk memilih pemain," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat di Melaka malam tadi.

Melaka United beraksi cemerlang apabila membelasah skuad B-22 negara, 5-1 pada aksi persahabatan tersebut.

Kim Swee berkata beliau akan menamakan kesebelasan utama skuad muda negara itu sebelum beraksi di Pusingan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok, Thailand, bulan depan.

"Senarai akhir akan hanya kita umumkan pada latihan terakhir sebelum kita bertolak ke Bangkok pada 17 Julai," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Kim Swee berkata anak buahnya kepenatan setelah mengharungi jadual padat ketika menjalani latihan selama lapan hari di China, baru-baru ini.

"Pada separuh masa pertama, kita mampu melakukan gerakan-gerakan yang baik apabila mendahului 1-0 pada awal perlawanan. Namun, pada separuh masa kedua kita mula hilang fokus," katanya.

Sementara itu pengurus pasukan B-22, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata beliau tetap berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingan Kim Swee itu, yang semakin menunjukkan keserasian dan semangat yang begitu tinggi, walaupun tewas pada aksi persahabatan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United berkata faktor kepenatan menjadi punca utama skuad muda negara gagal menyaingi Melaka United pada babak kedua perlawanan.

"Pada separuh masa pertama terutama dalam 20 minit pertama, pasukan B-22 mendominasi perlawanan, tetapi faktor kepenatan telah mengganggu rentak permainan mereka pada babak kedua perlawanan," katanya.

Mohd Yusoff berkata beliau yakin dengan kemampuan barisan pemain dan percaya mereka mampu melakar kejayaan pada saingan Piala AFC B-23 di Bangkok, nanti.

"Malah, seperti yang saya cakap sebelum ini, untuk Sukan SEA, saya yakin pasukan Projek Sukan SEA ini mampu mara sekurang-kurangnya ke final," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.