Sathia tuntut pemain 'lupakan raya'
Menjelang sambungan aksi Liga Super Sabtu ini, jurulatih Felda United FC, B Sathianthan, menggesa anak buahnya agar mengetepikan semangat Aidilfitri demi perjuangan mereka di atas padang.
Selepas kira-kira sebulan liga berehat, katanya, skuad The Fighters kini bersedia untuk berdepan pasukan Pahang dalam perlawanan ke-14 musim ini.
"Ya, kita tahu sekarang masih dalam suasana hari raya, tetapi pemain kita sudah mula berlatih sejak hari raya ketiga.
"Pastinya saya mahu mereka lupakan seketika mood hari raya, sebagai pemain bola sepak profesional mereka perlu korbankan perasaan untuk berhari raya ketika berdepan tugasan untuk pasukan.
"Kalau masih nak beraya berhenti sajalah main bola," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Felda United kini berada pada kedudukan ketujuh liga selepas 13 perlawanan dengan mengutip 17 mata hasil lima kemenangan dan masing-masing empat keputusan seri dan kalah.
Mengulas prestasi anak buahnya, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, selepas melalui empat perlawanan persahabatan pada bulan puasa lalu mereka menunjukkan peningkatan terutamanya dari aspek serangan.
Menurut Sathianthan, melalui perlawanan persahabatan menentang skuad Malaysia bawah 22, Terengganu, Shahzan Muda SC, Mifa dan UKM FC anak buahnya berjaya mencipta 10 gol dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri.
"Saya berharap mereka akan lebih serasi lebih-lebih lagi kita akan berdepan pasukan yang kuat untuk perlawanan pertama selepas berehat panjang," kata Sathianathan.
Sementara itu penggendali berusia 59 tahun itu turut menuntut komitmen tinggi daripada pemainnya dan tidak bergantung kepada khidmat pemain import semata-mata.
"Saya akan menggunakan keseluruhan pemain yang ada dalam pasukan dengan melakukan penggiliran pemain untuk perlawanan-perlawanan akan datang. Jadi tidak timbul soal siapa berada dalam kesebelasan utama.
"Apa yang penting pemain tempatan perlu buktikan komitmen 100 peratus mereka untuk membantu kemenangan pasukan. Kita perlu meraih tiga mata bertemu Pahang sekiranya mahu mencapai sasaran kedudukan empat terbaik musim ini," katanya.
Felda United sebelum ini membawa senjata serangan baru mereka dengan mendapatkan khidmat penyerang dari Nigeria, Ifedayo Omosuyi.
Pemain berusia 26 tahun itu nampaknya sudah menambat hati Sathianthan dengan menjaringkan enam gol dalam empat aksi persahabatan lalu.

