Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Hasrat Khalid Ali bertemu TMJ mungkin tercapai
Diterbitkan:  Jun 29, 2017 7:18 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Hasrat legenda bola sepak negara, Khalid Ali untuk bertemu presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin menjadi kenyataan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jika bekas pemain era 80-an itu ikhlas untuk menyumbangkan idea berkaitan bola sepak negara, tiada sebarang masalah untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Hamidin berkata Khalid yang merupakan watak utama dalam kejayaan pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 mungkin mempunyai pandangan yang berguna dan tidak menolak kemungkinan akan wujudnya satu impak positif hasil daripada pertemuan tersebut.

“Saya rasa mungkin ada impak yang positif yang akan terhasil jika diadakan pertemuan itu. Jika hasrat Khalid itu ikhlas untuk membantu memberikan idea bagi memajukan lagi bola sepak negara, saya rasa tiada isu yang perlu kita khuatirkan,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama warga bola sepak tanah air di kediamannya di Shah Alam, hari ini.

Hamidin seterusnya menjelaskan Khalid tidak perlu menunggu maklum balas daripada TMJ, sebaliknya boleh menghubungi beliau dan menyerahkan hal berkaitan pengaturan pertemuan itu kepadanya.

“Hubungi saja saya ataupun pegawai khas TMJ….saya sendiri akan sampaikan kepada TMJ dan mengaturkan segala perkara berkaitan pertemuan itu nanti,” tambahnya.

Rabu lepas Khalid yang dihubungi Bernama menyatakan hasrat untuk bertemu TMJ bagi memberi sokongan kepada baginda dalam memajukan bola sepak negara susulan kekalahan 1-2 Harimau Malaya kepada Lubnan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 pada 14 Jun yang menyaksikan TMJ dihujani kritikan berikutan kekecewaan itu.

Khalid turut mengulas gesaan yang dibuat Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Tun Aminah yang mahu TMJ meninggalkan FAM dan pulang semula bagi mengendali pasukan JDT sebagai tindakan yang mampu memusnahkan jutaan harapan peminat tempatan untuk melihat pembaharuan yang ingin dibawa TMJ.

Khalid bercadang bertemu Tunku Ismail bersama bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagobal dan pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan serta beberapa legenda bola sepak negara.

-Bernama

Lihat Komen
ADS