Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jin Wei ke pentas akhir Terbuka Taiwan
Diterbitkan:  Jul 1, 2017 6:58 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas BWF Terbuka Taiwan yang berlangsung di Taipei Arena, Songshan, hari ini.

Menurut laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF)  www.bwfbadminton.com, pemain berusia 17 tahun dari Bukit Mertajam itu menewaskan pemain Jepun, Haruko Suzuki 21-16 dan 21-17 dalam tempoh 46 minit pada saingan separuh akhir.

Kejayaan beliau melangkah ke peringkat akhir buat pertama kali musim ini, sekali gus menyekat penguasaan pemain Jepun dalam acara perseorangan wanita.

Juara Remaja Dunia 2015 dan pemain ranking ke-44 dunia itu, akan bertemu sama ada Saena Kawakami atau Natsumi Shimoda pada perlawanan akhir esok.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki selepas kalah di tangan pemain tuan rumah dan juga pilihan utama kejohanan, Chou Tien Chen di separuh akhir.

Namun, pemain berusia 19 tahun dan berada di ranking ke-106 dunia itu tidak mudah menyerah kalah berdepan pemain ranking keenam dunia itu, sebelum tunduk 15-21, 21-10 dan 12-21 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 51 minit.

Penampilan dalam saingan separuh akhir adalah yang kedua buat Zii Jia musim ini selepas Kejohanan Masters Thailand, Februari lepas.

Pasangan beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen juga gagal menempah tempat ke final selepas tewas 14-21, 21-19 dan 13-21 kepada beregu tuan rumah dan pilihan kedua kejohanan, Chen Hung Ling-Wang Chi-lin.

Gandingan Kah Ming-Juan Shen kini sedang mempersiapkan diri untuk Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland dari 21 hingga 27 Ogos ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS