Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gol Ghaddar bantu kemenangan JDT
Diterbitkan:  Jul 1, 2017 11:02 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

Skuad bola sepak JDT terus menguasai kedudukan di persada Liga Super 2017 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0, sebentar tadi.

Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas liga berehat kira-kira sebulan menyaksikan bekas penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar menjaringkan gol sulungnya bersama Harimau Selatan.

Terikat 0-0 dari awal masa permainan, penyerang dari Lubnan itu berjaya membolosi gawang pasukan pelawat pada minit ke-44 sebelum aksi 45 minit pertama direhatkan pengadil.

Gol kedua penyandang juara sejak tiga musim lalu pula muncul di separuh masa kedua melalui sentuhan Gonzalo cabrera pada minit ke-84 untuk mengukuhkan kedudukan.

Ia sekali gus membolehkan JDT yang kini dibimbing jurulatih baru, Ulisses Morais mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan ke-10 mereka.

Keputusan juga membolehkan JDT mengumpul 33 mata selepas 14 perlawanan, berbanding pencabar terdekat - Pahang dengan 24 mata pada kedudukan kedua selepas ditewaskan Felda United 2-1.

Sementara itu, di Stadium Darul Aman, Alor Setar pastinya diselubungi perasaan kecewa penyokong tuan rumah apabila Helang Merah dijinakkan skuad Seladang.

Turun tanpa ketiadaan beberapa pemain sandaran utama, anak buah Mohd Nidzam Adzha Yusoff tewas 2-3 yang juga kekalahan kedua mereka musim ini.

Awal persembahan separuh minit pertama, Kedah dilihat lebih menguasai permainan memaksa kerja keras barisan pemain pasukan Perak cuba mengimbangi rentak dan taktikal tuan rumah.

Kedua-dua pasukan tampil dengan aksi berbalas serangan di samping terpaksa menyesuaikan gerakan dan hantaran bola dalam keadaan padang basah susulan hujan.

Namun, titik pemisah muncul di minit ke-30 dengan kesilapan pertahanan Kedah, Syazwan Tajuddin yang gagal melakukan aksi penyelamatan sebaliknya tindakannya menghasilkan gol sendiri.

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua, Perak terus mengukuhkan kedudukan melalui gol kedua mereka seawal minit ke-47 permain melalui Nasir Basharuddin.

Kedah bagaimanapun cuba bangkit dengan merapatkan jurang gol melalui sentuhan pemain muda mereka, Ariff Farhan di minit ke-59, namun Gilmar da Silva menafikan kebangkitan tuan rumah dengan gol ketiga untuk Perak 14 minit berselang.

Menjelang fasa akhir tempoh permainan, giliran ayam tambatan Kedah, Liridon Krasniqi pula menanduk masuk bola ke gawang Perak untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-85.

Keputusan-keputusan lain:

Felda United 2-1 Pahang
PKNS FC 1-1 Melaka United
Selangor 4-2 T-Team
Kelantan 0-2 Sarawak

Lihat Komen
ADS