Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gaji pemain Kedah sempurna
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 11:24 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menafikan gembar-gembur yang tular di media sosial mengenai tunggakan gaji barisan pemain skuad Helang Merah.

Setiausaha kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar, berkata pengurusan KFA sentiasa memberi komitmen penuh untuk menjaga kebajikan pemain menurut persetujuan yang termaktub dalam kontrak.

Menurut beliau, setakat ini tiada tunggakan gaji bulanan dan pembayaran bonus perlawanan daripada persatuan.

"KFA sentiasa prihatin kepada kebajikan pemain dan memastikan agar fokus utama mereka adalah untuk mempamerkan aksi yang terbaik.

"Pihak pengurusan berharap dengan penjelasan ini akan meredakan isu tular yang tidak benar supaya pemain-pemain kembali fokus kepada saingan liga Malaysia musim 2017," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Terdahulu, isu tunggakan gaji Jun pemain Kedah menjadi topik hangat di media sosia khususnya di kalangan penyokong mereka.

Tambah Aminuddin, kepimpinan persatuan sentiasa mencari jalan terbaik dalam penambahbaikan pengurusan pasukan agar pasukan Helang Merah terus berjaya di masa hadapan.

Untuk rekod, Kedah kini berada di tangga ketiga Liga Super 2017 selepas mengharungi 14 perlawanan dan terbaru mereka tewas 2-3 ketika berdepan Perak, Sabtu lalu.

Lihat Komen
ADS