Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jangan menghasut, tegas FAM
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 4:13 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Ketua jurulatih pasukan bola sepak di negara ini diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan negatif terutamanya berbaur hasutan sekiranya tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ini kerana beliau percaya kenyataan berkenaan boleh mewujudkan unsur ketidakpercayaan terhadap mutu pengadilan bola sepak di negara ini.

“Sememangnya kita akan ada rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan, tetapi jangan sampai ia merosakkan dan mencemarkan imej bola sepak negara...persepsi negatif ini perlu dihapuskan.

“Kita tidak mahu mutu pengadilan akan menyebabkan timbulnya rasa hilang kepercayaan penyokong-penyokong yang merasa seolah-olah tertipu dengan perlawanan yang kononnya seperti diatur,” katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.

Beliau berkata FAM melalui jawatankuasa pengadil turut sentiasa berusaha meningkatkan mutu pengadilan bola sepak agar kesilapan seumpama ini tidak berulang sekali gus mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap sistem pengadilan tersebut.

Pada 1 Julai lalu, Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh melahirkan rasa kecewa dengan mutu pengadilan yang didakwanya berat sebelah ketika Tok Gajah tewas 1-2 kepada Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Mohd Yusoff berkata usaha ini bagi menghilangkan keraguan orang ramai selain meyakinkan mereka agar Liga Malaysia akan terus dihormati.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United itu berkata secara peribadinya beliau juga tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlwanan Liga Super antara Melaka United dan PKNS FC baru-baru ini.

“Saya juga atas faktor Melaka United turut tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan yang berlangsung baru-baru ini ketika menentang pasukan PKNS. Saya dimaklumkan pengerusi jawatankuasa pengadil bahawa keputusan penalti dan kad merah kepada pemain Melaka United itu salah,” katanya.

Beliau berkata apabila sesuatu rasa tidak puas hati timbul, seharusnya pihak ketua jurulatih melalui persatuan perlu menghantar surat bantahan rasmi kepada jawatankuasa pengadil berserta bukti seperti video perlawanan.

“Saya difahamkan pengerusi jawatankuasa pengadil belum menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Pahang dan kenyataan yang dikeluarkan Dollah barangkali bersifat peribadi dan bukan secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas 100 hari pentadbirannya sebagai Presiden FAM.

“Jawatankuasa FAM sentiasa menaruh sepenuh kepercayaan dan berdiri teguh di belakang tuanku untuk melakukan apa jua perubahan dalam bola sepak negara agar ia dapat ke satu tahap yg lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS