Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM ubah kaedah undian selepas bantahan
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 7:46 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

FAM hari ini akur dengan bantahan beberapa negara yang mendakwa Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2017 diberikan kebebasan untuk memilih kumpulan yang diingini dalam acara bola sepak.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, melalui mesyuarat khas FAM, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Malaysia (Masoc) mencapai persetujuan berhubung mekanisme baru yang akan dilaksanakan pada majlis undian, Sabtu ini.

Menurutnya, kedudukan dan susunan pasukan pilihan bagi setiap balang dalam mekanisme baru undian ini mengambil kira kedudukan dan prestasi setiap pasukan pada temasya edisi lalu iaitu Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Mekanisme undian ini sama seperti dilakukan pada undian acara bola sepak Sukan SEA 2015 di Singapura dengan susunan pasukan bagi kedudukan undian adalah berdasarkan pencapaian pasukan pada Sukan SEA edisi sebelumnya.

"Mekanisme baharu undian ini akan dihantar ke Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapat kelulusan sebelum diguna pakai pada majlis undian, Sabtu ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beberapa negara seperti Vietnam dan Laos tampil menyatakan bantahan susulan Malaysia sebagai tuan rumah didakwa bebas memilih untuk ebrada dalam mana-mana kumpulan selepas undian tersebut.

Megikut rekod penganjuran sebelum ini, undian dilakukan untuk semua pasukan dan pasukan tuan rumah hanya diberi kelebihan berada dalam balang yang sama dengan juara bertahan ketika proses undian dilakukan.

Sementara itu Hamidin berkata, pihaknya berharap dengan pelaksanaan mekanisme baru undian ini, tiada lagi isu dibangkitkan oleh negara-negara bertanding.

"Dan saingan acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 14 Ogos hingga 29 Ogos depan dapat berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan," katanya.

Berikut mekanisme baru undian dipersetujui FAM, MOM dan Masoc:

1. Sebanyak 11 pasukan mengambil bahagian menjadikan Kumpulan A akan mempunyai 5 pasukan manakala Kumpulan B mempunyai 6 pasukan.

2. Tuan rumah iaitu Malaysia akan diletakkan terus dalam Kumpulan A di posisi A1 manakala juara bertahan, Thailand selaku pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 pula akan diletakkan terus dalam Kumpulan B iaitu di posisi B1.

3. Undian akan dimulakan dengan Balang 1 yang mengandungi pasukan Myanmar (pingat perak Sukan SEA 2015) dan Vietnam (pingat gangsa Sukan SEA 2015). Pasukan pertama yang dipilih nanti akan ke Kumpulan A iaitu di posisi A2 manakala pasukan berikutnya akan ke Kumpulan B di posisi B2.

4. Undian diteruskan dengan Balang 2 yang mengandungi pasukan Indonesia (tempat ke-4 Sukan SEA 2015) dan Singapura (tempat ke-3 Kumpulan A, Sukan SEA 2015). Pasukan pertama yang dipilih akan ke Kumpulan A iaitu di posisi A3 manakala pasukan berikutnya akan ke Kumpulan B di posisi B3.

5. Kemudian undian untuk Balang 3 yang mengandungi lima pasukan iaitu Kemboja (tempat ke-4 Kumpulan A, Sukan SEA 2015), Laos (tempat ke-4 Kumpulan B, Sukan SEA 2015), Filipina (tempat ke-5 Kumpulan A, Sukan SEA 2015), Timor-Leste (tempat ke-5 Kumpulan B, Sukan SEA 2015) dan Brunei (tempat ke-6 Kumpulan B, Sukan SEA 2015). Pasukan pertama yang dipilih akan diletakkan di posisi A4, diikuti B4 dan seterusnya A5, B5 dan akhir sekali B6 bagi melengkapkan undian.

Lihat Komen
ADS