Everton dilaporkan menjadi kelab paling agresif dalam memburu pemain-pemain baru dalam jendela perpindahan musim panas ini. Terbaru, mereka berjaya menandatangani pemain yang digelar raja sepakan bebas di La Liga, Sandro Ramirez.

Dengan nilai perpindahan RM29 juta, penyerang berusia 21 tahun ini dilepaskan kelab asalnya - Malaga dengan kontrak selama empat tahun sekali gus menjadi pemain keempat yang dibeli Everton jendela ini.

Skuad The Toffees sebelum ini telah mengikat Jordan Pickford iaitu penjaga gol muda England, Davy Klaassen (Ajax) dan Henry Onyekuru (Nigeria).

"Saya sangat gembira, satu langkah jangka masa panjang dalam karier dan saya sedar saya bergabung ke kelab besar England.

"Everton adalah tempat ideal dan saya akan dilatih pengurus tepat yang membuatkan saya berkeyakinan untuk terus maju," katanya kepada Everton TV.

Pada musim lalu, bekas pemain Barcelona itu menyumbang 16 gol dan lima assist melalui 31 penampilan bersama Malaga.

"Everton ada perancangan besar mahu meraih kejayaan dan terus berkembang. Saya berharap dapat sesuaikan diri bersama rakan sepasukan dan bola sepak serta gaya hidup di sini.

"Kami mempunyai skuad yang hebat dan saya bersemangat untuk meraih banyak kejuaraan bersama Everton," jelasnya.

Sepanjang musim lalu, Ramirez muncul sebagai raja sepakan percuma dalam saingan La Liga dengan menghasilkan tiga gol.

Ketika bersama Barcelona, dia sempat menyumbang tujuh gol dalam 32 perlawanan termasuk membantu skuad Blaugrana meraih kejuaraan Liga Juara-juara 2015.