Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Masih banyak TRW perlu perbaiki
Diterbitkan:  Jul 5, 2017 2:12 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail belum berpuas hati dengan corak permainan pasukannya walaupun menewaskan pasukan UiTM FC pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Zahasmi berkata, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh para pemain bagi mengharungi lima lagi perlawanan peringkat kumpulan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

"Jika pemain tidak memperbaiki mutu permainan mereka dari semasa ke semasa, mungkin Kelantan akan menghadapi kesukaran atau hanya mampu menamatkan saingan di peringkat kumpulan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, Kelantan menewaskan UiTM FC 3-1 hasil jaringan dua gol oleh Mohd Khairul Izuan Rosli manakala satu lagi gol dijaringkan oleh penyerang import Abou Bakr Al-Mel sementara gol sagu hati pasukan pelawat dijaringkan oleh Akanni Sunday Wasiu.

Zahasmi juga mengakui Abou Bakr dan seorang lagi penyerang import Alessandro Padovani Celin masih belum menunjukkan keserasian di bahagian serangan dan juga bersama rakan yang lain.

"Ini menyebabkan mereka sukar untuk menjaringkan gol, mungkin sebelum ini pasukan kekurangan perlawanan persahabatan untuk pendedahan corak permainan masing-masing.

"Mereka perlu diberikan peluang dan masa untuk memperbaiki kelemahan bagi memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan," katanya.

Sementara itu ketua jurulatih UiTM FC Wan Mustaffa Wan Ismail turut kecewa dengan barisan penyerang pasukannya yang gagal menyudahkan peluang menjaringkan gol bagi memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah.

"Tindakan penyudah pasukan gagal, saya minta mereka bangkit kerana selepas ini kami akan bertemu dua lagi pasukan dari Liga Super iaitu Kedah dan Melaka United.

"Kekalahan malam ini perlu dijadikan pengalaman kepada mereka bagi menghadapi lima lagi perlawanan peringkat kumpulan selepas ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS