Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Hanya enam daripada keseluruhan 26 pemain melaporkan diri untuk latihan pusat persediaan ke Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B23 di Bangkok, Thailand pada 19 hingga 23 Julai depan.

Mengumumkan perkara itu hari ini, jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee dan pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi jelas mempamerkan riak dan wajah sugul.

Yusoff berkata, enam pemain tersebut terdiri daripada dua pemain Selangor, serta masing-masing seorang pemain dari pasukan Felda United, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak.

‎"Setelah beberapa siri perbincangan dengan pasukan, kita mendapat persefahaman bahawa pemain tersebut akan datang kemudian. Hanya dua pasukan belum memberi kata putus iaitu Pulau Pinang dan Pahang," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Enam pemain berkenaan ialah Syahmi Safari (Selangor),  Adan Nor Azlin (Selangor), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Danial Amier Norhisham (Felda United) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Terdahulu, pasukan negara dan kelab dilaporkan enggan melepaskan pemain mereka susulan ramai pemain mengalami kecederaan dan jadual perlawanan liga tempatan ‎yang padat.

Malah, kebanyakan pemain yang dipanggil itu merupakan pemain utama pasukan negara dan kelab masing-masing.

‎Bagaimanapun Yusoff yang juga timbalan presiden FAM berkata, pihaknya menjamin sekurang-kurangnya ada 20 pemain yang akan tiba ke kem latihan sebelum berangkat ke Bangkok.

"Kita berhubung dengan Tengku Muda Pahang. Nampaknya ada sedikit cahaya, kemungkinan untuk Pahang melepaskan pemain adalah besar.

"Kita juga berhubung dengan presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang serta jurulatihnya dan ada kelonggaran sikit untuk lepaskan pemain," jelasnya.

‎Tambah beliau, pihak pengurusan menjangkakan kemelut tersebut akan selesai dalam masa terdekat dan pemain akan tiba secara berperingkat-peringkat menjelang perlawanan persahabatan berdepan Myanmar minggu depan.

"Kita jangka kita tak akan menghadapi masalah. Kita mohon untuk tunda perlawanan (persahabatan) kepada 14 Julai, berbanding tarikh asal 13 Julai.

"Dan kebanyakan pemain sudah melaporkan diri pada12 Julai," kata Yusoff.

Lihat Komen
ADS