Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Sejarah ngeri buat Datuk Ong Kim Swee apabila hanya enam pemain melaporkan diri pada latihan skuad bawah 22 tahun (B-22), malah keadaan itu‎ tidak pernah terjadi sepanjang penglibatannya sebagai jurulatih bola sepak.

Ada isyarat kurang baik bagi pengendali kelahiran Melaka itu, sebelum pasukan berangkat ke Bangkok bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, minggu depan.

Persiapan Kim Swee dalam misi layak ke pusingan akhir kejohanan itu di China nanti nampak terjejas jika gagal mendapatkan pemain-pemain utamanya.‎

Namun, di sebalik reaksi sugul di raut wajahnya, Kim Swee tetap optimis untuk meneruskan sesi latihan dan berharap pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) dapat melepaskan mereka demi kepentingan negara.

Tanpa berselindung, Kim Swee mengakui kehadiran hanya enam pemain melaporkan diri itu adalah lebih 'ngeri' jika dibandingkan pengalamannya menaiki kereta perisai milik Indonesia, Barracuda di Sukan SEA 2011 lalu ketika berlaku insiden rusuhan penyokong.

"Saya lebih rela menaiki Barracuda bersama pasukan dan memenangi (layak) pusingan akhir kelayakan Piala AFC B-23 berbanding situasi ini (menyaksikan hanya enam pemain melaporkan diri)."

Meskipun sukar mengadakan sesi latihan, Kim Swee berkata dia tetap bersikap positif kerana harus memikirkan beberapa aspek lain memandangkan pemain yang sama akan beraksi di Sukan SEA 2017 nanti.

"Jika saya mengambil pemain lain, pada tibanya Sukan SEA nanti, kita menggunakan pemain lain jadi itu tidak bersesuaian," katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

Tetap teruskan latihan

Kim Swee berkata, ini adalah pengalaman kali pertama berdepan situasi itu namun akan tetap meneruskan perancangan seperti biasa biarpun hanya memiliki pemain berskala futsal setakat ini.

"Meskipun ada enam, lima atau tiga pemain sekali pun, saya tetap meneruskan sesi latihan pusat ini.

"Saya cuba mendapatkan keputusan paling baik, bukan untuk diri saya kerana kita tahu kelayakan Piala AFC B-23 ini penting, lebih-lebih lagi kita menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA 2017," katanya.

Semalam, enam pemain yang melaporkan diri itu adalah dua pemain Selangor, Muhammad Syahmi Safari dan Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Daniel Amier Norhisham (Felda United) serta Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau tetap menghormati keputusan wakil-wakil Liga M yang dilihat enggan melepaskan pemain pada saat-saat akhir.

"Kita harus faham bahawa keputusan mereka bersebab memandangkan pemain-pemain ini adalah tonggak utama dalam pasukan mereka tetapi saya berharap mereka dapat dilepaskan kerana kita memiliki peluang cerah untuk kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok nanti jika mendapat komitmen daripada mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS