Rangking Fifa: Malaysia jatuh ke tangga 167

   

Malaysia turun 12 anak tangga kepada kedudukan 167 dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Berdasarkan laman web rasmi www.fifa.com, skuad Harimau Malaya ketinggalan di belakang beberapa buah negara seperti Myanmar, Bhutan dan Sudan.

Kedudukan terbaru itu juga dicatatkan selepas empat bulan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Malaysia berkongsi kedudukan sama dengan pasukan Belize, manakala Singapura turun 12 mata di tangga ke-169 dan Indonesia kekal di ranking ke-175.

Kekalahan Malaysia semasa beraksi dalam kelayakan Piala Asia menentang Lubnan Jun lalu, mempengaruhi kedudukan pada bulan ini.

Sementara itu Jerman memintas Brazil di kedudukan teratas, diikuti Argentina, Portugal dan Switzerland.

Iran pula kekal pasukan terbaik Asia dengan menduduki ranking ke-23 dunia diikuti Australia (45), Jepun (46), Korea Selatan (51) dan Arab Saudi (61).

Perubahan perlukan masa

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin ketika mengulas kedudukan terbaru itu berkata, penurunan ke tangga 167 bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, ia berlaku setelah pasukan kebangsaan tewas dalam perlawanan menentang Lubnan dan kemudian tiada perlawanan persahabatan disebabkan liga Malaysia sedang berlangsung.

Kedudukan itu juga katanya boleh diperbaiki memandangkan Malaysia akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi mendapatkan semula mata.

"FAM juga akan mengkaji semula jadual perlawanan dan akan melantik 'ranking konsultan' sepertimana dipraktikkan di negara India.

"Kita berada dalam sebuah sistem yang sudah 'tidur' lebih 30 tahun yang kurang memberikan sumbangan. Oleh itu, perubahan ranking pasukan kebangsaan dan infrastruktur akan mengambil masa," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, FAM juga akan melantik pengarah teknikal pada bulan September bersama-sama 'ranking konsultan' bagi memperbaiki kedudukan.

"Tidak banyak perkara yang boleh diubah dalam masa hanya 100 hari.

"Bagaimanapun ranking futsal kita telah meningkat dari tangga 69 ke 64 dunia. Pemikiran biarlah realistik," katanya merujuk pihak yang mengkritik ranking terbaru Fifa itu.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.