Terengganu, JDT berkongsi mata
Tiada jaringan terhasil di Kuala Terengganu menyaksikan pertemuan antara Terengganu dan JDT pada perlawanan kedua peringkat kumpulan D kempen Piala Malaysia 2017.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun mempamerkan persembahan penuh debaran dan menarik dengan aksi berbalas serangan.
Skuad Harimau Selatan hampir mengejutkan penyokong tuan tuan seawal minit ketiga sepak mula, namun Darren Lok gagal memberi sentuhan sempurna dengan peluang terhidang di depannya.
Terengganu bukan lawan yang mudah buat JDT kali ini, beraksi di kubu skuad Penyu ternyata memberi cabaran dan tekanan tersendiri.
Anak buah Irfan Bakti Abu Salim tampil dengan komitmen tinggi lebih-lebih lagi dalam usaha mempertahankan gawang mereka daripada dirobek lawan.
Malah, mereka juga turut mengancam benteng pertahanan pasukan pelawat khususnya selepas 10 minit permainan bermula.
Di minit ke-15, Terengganu mengasak kubu pertahanan JDT bertali-arus melalui sentuhan pemain sandaran mereka seperti Mohd Faiz Nasir, Issey Nakajima dan Brice Kipre.
Terengganu berjaya menguasai rentak permainan khususnya di posisi tengah yang menunjukkan keserasian tinggi, sayangnya mereka agak hilang tumpuan untuk melakukan kesudahan sempurna.
Mereka nampaknya lebih banyak menguasai bola walaupun cuba diberi saingan hebat pemain-pemain JDT.
Bagaimanapun, kekalutan di posisi pertahanan susulan asakan pasukan tuan rumah mampu diserap dengan baik oleh pemain pertahanan Harimau Selatan.
Malah Minit ke-32, susulan kesilapan pertahanan Terengganu menyebabkan bola berjaya dirampas Nazmi Faiz Mansor hampir-hampir menghadiahkan gol kepada JDT.
Skuad Penyu bernasib baik apabila rembatan Faiz Nazmi bola hanya terkena tiang gol.
Aksi separuh masa kedua pula, keadaan sebaliknya berlaku apabila giliran JDT pula menguasai tempo perlawanan.
Skuad bimbingan Ulisses Morais, bagaimanapun tetap 'hilang punca' dalam usaha mereka untuk memburu gol sekali gus meraih tiga mata di Stadium Sultan Nasiruddin Shah itu.
Keputusan berakhir 0-0 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil menyaksikan Terengganu memperolehi keputusan seri kali kedua selepas turut seri pada perlawanan pertama berdepan Selangor, Sabtu lalu.
Sebaliknya JDT terus mendahulu tangga kumpulan dengan meraih empat mata hasil dua perlawanan, manakala satu perlawanan kedua kumpulan D akan berlangsung esok antara Sarawak dan Selangor di Kuching.
Kedah belasah UiTM FC
Sementara itu, keputusan perlawanan kumpulan D yang turut berlangsung malam ini menyaksikan pasukan Kedah membelasah UiTM FC 5-0 di Stadium UiTM Shah Alam.
Di Paroi, skuad Negeri Sembilan sekadar seri 3-3 berdepan T-Team, manakala PKNP FC dicabar Pahang juga berkesudahan dengan keputusan ser 1-1 dalam saingan kumpulan A.
Terdahulu, satu lagi perlwanan yang berlangsung petang tadi menyaksikan Perak menang ke atas Kuaal Lumpur 3-3 dalam cabaran kumpulan B.

