Malaysia dicabar Myanmar, Singapura
Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) Malaysia tetap berdepan ujian mencabar selepas diundi dalam kumpulan A pada aksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos nanti.
Skuad Projek Sukan SEA itu diundi berada dalam kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata walaupun nampak diundi dalam kumpulan lebih baik berbanding kumpulan B, pasukannya bakal dicabar hebat skuad Singapura dan Myanmar.
"Myanmar dan Singapura akan menjadi pencabar utama, manakala Laos dan Brunei pula tidak boleh dipandang rendah.
"Apa yang lebih penting, kita harus memastikan pasukan kita berada dalam keadaan terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya," katanya dalam kenyataan selepas majlis undian bagi acara-acara berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, kumpulan B pula menempatkan saingan antara enam pasukan diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 dan 2015, Thailand, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 iaitu Vietnam, pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 dan 2013, Indonesia serta Kemboja, Timor-Leste dan Filipina.
"Boleh nampak yang pasukan pilihan dari Kumpulan B pula pastinya Thailand, Indonesia dan Vietnam tetapi kejutan boleh berlaku dan kita sendiri juga tak tahu apa yang akan berlaku dalam Kumpulan A.
"Jadi apa yang penting, kita hanya perlu fokus terhadap saingan Kumpulan A dan juga perlawanan yang bakal kita hadapi, berbanding memikirkan hal-hal lain," jelasnya.
Terdahulu, jurulatih kelahiran Melaka itu menerima ujian awal susulan kem latihan pusat yang sepatutnya bermula 5 Julai lalu disambut hambar apabila hanya enam pemain hadir melapor diri.
Ia susulan keengganan pasukan-pasukan kelab dan negeri enggan melepaskan pemain mereka yang kini turut terlibat dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super.
Keadaan itu agak menjejaskan persiapan skuad B-22 sebelum berangkat ke Bangkok, Thailand bagi menghadapai aksi kelayakan Piala AFC 2018, minggu depan.
Malah mereka terlebih dahulu dijadualkan berdepan Myanmar pada aksi persahabatan, 13 Julai ini.
"Mengenai perlawanan persahabatan dengan Myanmar di Stadium Shah Alam pada 13 Julai ini, ia tetap akan diteruskan kerana kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk meneruskannya meskipun jika diundi dalam satu kumpulan untuk Sukan SEA 2017.
"Ini kerana perlawanan ini penting untuk kedua-dua pasukan bersiap menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Julai ini. Sudah tentu ia satu perlawanan yang baik untuk kita," kata Kim Swee.

