Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mencipta sejarah tersendiri apabila melantik seorang wanita sebagai setiausaha bgung buat kali pertama.

Ratu Tisha Destria dipilih menduduki jawatan setiausaha agung PSSI selepas namanya diundi 10 exco PSSI itu dalam pemilihan yang berlangsung di Jakarta semalam.

Ratu Tisha yang kini berusia 32 tahun menggantikan Ade Wellington dan akan menggalas tugas itu sehingga 2020.

"Mungkin salah satu sebab Ratu dipilih menjadi setiausaha agung kerana dia cekap, pernah terlibat mengelola kejohanan Torabika Soccer Championship musim lalu.

"Selain itu, setiap exco mempunyai alasan masing-masing," kata ketua kakitangan pejabat pengerusi PSSSI, Iwan Budianto seperti dilaporkan Antara.

Tambahnya, berdasarkan data dari Jabatan Personaliti PSSI, Ratu Tisha menjadi calon terbaik untuk hampir semua jawatan itu berdasarkan kepada keadaan kesihatan, kerohanian dan mempunyai kemampuan dalam urusun pentadbiran bola sepak.

"Markah diperolehinya tidak mampu ditandingi calon-calon lain," kata Iwan.

Sementara itu, Ratu Tisha mengaku dia masih menunggu laporan lanjut daripada PSSI mengenai pelantikannya dan perancangan susulan, malah enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Nanti setelah rasmi ke PSSI, baru saya akan mengetahui perincian kekurangan dan kelebihan di organisasi.

"Sebenarnya saya sudah memiliki perancangan dan fokus kerja, tetapi saya belum dapat melangkaui apa yang selama ini diterapkan.

"Tugas saya sekarang adalah bagaimana kerja dapat dijalankan dengan cepat," katanya yang juga alumni program Fifa Master (sarjana antarabangsa dalam pengurusan, undang-undang dan kemanusiaan sukan).

Ratu Tisha mempunyai pengalaman luas dalam bidang bola sepak sebelum ini merupakan pengarah pertandingann Gelora Trisula Semesta, penyelia kejohanan Torabika Soccer Championship 2016 dan salah seorang petugas di lembaga penyedia data statistik dan analisis sepak bola Indonesia.