Paling Popular
Terkini
story images
story images

Cita-citanya asalnya adalah untuk menjadi seorang pakar onkologi, tetapi buat masa ini misi utamanya ialah untuk menyumbang kepada negara.

Hasrat itu membawa dia yang baru berusia 19 tahun kembali ke tanah air setiap kali cuti musim panas.

Dia ialah Perry Lim yang dilahirkan di Illinois, AS, dan anak kepada Billy Lim, seorang lelaki dari Pulau Pinang tetapi kini berkhidmat sebagai seorang profesor sains komputer di Universiti Illinois.

Buat masa ini Perry baru saja menghabiskan tahun pertama pengajiannya dalam jurusan kimia dan biomolekular di University of Illinois.

Ia adalah satu daripada universiti terbaik di AS. Perry membuktikan seseorang itu boleh mencatat kecemerlangan akademik yang baik walaupun aktif bersukan.

Perry berazam untuk menghabiskan pengajiannya dalam jurusan perubatan kelak.

Dengan ketinggian 6 kaki 5 inci atau 195sm, pemain muda itu bakal memberikan kekuatan tambahan buat skuad bola keranjang Malaysia.

Malah ada sesetengah peminat menganggapnya sebagai 'senjata rahsia' untuk pasukan kebangsaan.

"Saya mula bermain bola keranjang sejak berumur lima tahun. Ketika itu saya bermain dengan ayah saya yang pernah bermain mewakili Malaysia.

"Dari sekolah rendah dan menengah serta kolej, acap kali saya kembali bercuti di Malaysia. Di sini saya selalu menyertai kejohanan yang dianjurkan ketika itu," kata Perry semasa diwawancara Malaysiakini dan China Press baru-baru ini.

Intensif dan agresif

Kata Perry, dia tidak berasa tekanan yang terlalu berat menggalas cabaran berlatih bersama pasukan kebangsaan atau beraksi dalam 12 pemain skuad lelaki.

"Apa yang penting untuk saya ialah memberikan yang terbaik.

"Saya hanya seorang pemuda yang masih belajar di AS. Kejayaan yang diburu bukanlah untuk peribadi tetapi buat pasukan negara," katanya mengenai misi memburu pingat emas buat pasukan Malaysia di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos nanti.

Menjelaskan kisah hidupnya Perry berkata dia bermain mewakili kelab Youngsters untuk pasukan bawah 15 tahun, 17 tahun dan 20 tahun.

Semasa beraksi dalam satu kejohanan di Kuala Lumpur, dia dipilih untuk menyertai sesi pemilihan oleh jurulatih kebangsaan.

Sekiranya terpilih menyertai skuad kebangsaan, Perry berazam akan memberikan sumbangannya secara maksimum bagi membolehkan negara menjulang pingat emas.

"Latihan selama sebulan ini sangat intensif dan agresif tetapi semua pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan sangat mesra dan memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Sama ada Perry akan mengambil keputusan beraksi dalam liga profesional ketika ini, dia menjelaskan, dalam keadaan sekarang akademik akan diutamakan terlebih dulu.

Sementara itu Billy berkata anaknya itu sangat meminati sukan sejak kecil dan turut aktif dalam tenis dan bola sepak.

Untuk makluman, sebelum melanjutkan pelajarannya di Kanada dan AS, Billy juga pernah beraksi dalam arena bola keranjang di Pulau Pinang.

Perubahan boleh berlaku

Malah dia pernah mewakili Malaysia. Isterinya pula aktif dalam sukan bola tampar.

"Perry dapat menguruskan masanya dengan berkesan dan pada masa sama mendapat keputusan yang baik di sekolah dan universiti," katanya.

Ketika ini ketua jurulatih Malaysia, Goh Cheng Huat, sedang membimbing 16 yang akan dibawa terbang ke New Zealand pada 18 Julai ini untuk latihan intensif.

Enam belas pemain yang tersenarai ialah:

  • Chan Kek Thai
  • Chee Li Wei
  • Loh Shee Fai
  • Ma Chee Kheun
  • Ivan Yeo
  • Perry Lim
  • Wong Yi Hou
  • Ting Chun Hong
  • Kuek Tian Yuan
  • Teo Kok Hou
  • Soo Eng Heng
  • Kwaan Yoong Jing
  • Wong Chin Yong
  • Ong Wei Yong
  • Mak Long Seng
  • Choo Wei Hong

Menurut Goh, walaupun senarai untuk 12 pemain skuad kebangsaan lelaki sudah diterima, dia tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan nanti.

Skuad lelaki kebangsaan tersenarai dalam kumpulan A bersama Filipina, Thailand dan Myanmar pada Sukan SEA bulan depan.

Kkumpulan B pula dianggotai Indonesia, Singapura, Kemboja, Vietnam dan Laos.

"Bagi saya, Perry mempunyai ketinggian yang baik dan fizikal yang atletik. Setakat ini, tiada sesiapa di Malaysia yang dapat menandinginya.

"Dia seorang yang rajin dan gigih dalam latihannya. Perry adalah seorang yang yakin dalam corak permainan dan setiap pergerakannya juga mantap.

"Mungkin disebabkan oleh pendedahan awal bermain bersama pemain berkulit hitam di AS yang umumnya agak fizikal," katanya.

Ditanya mengenai keserasian Perry dengan sistem latihan yang diamalkan, Goh berkata, masih awal untuk membuat kepastian.

"Mungkin semasa di New Zealand nanti keadaan sebenar akan dapat dilihat," tambah Goh.

Lihat Komen
ADS