13 tahun Rooney bercinta dalam gelap dengan Everton
Bekas ayam tambatan Manchester United (MU), Wayne Rooney membuat pengakuan mengejutkan ketika dia diperkenalkan sebagai pemain baru Everton secara rasmi, semalam.
Selama 13 tahun bersama skuad The Red Devils, rupa-rupanya The Toffees tidak pernah jauh dari hatinya. Malah mungkin menjadi sebahagian daripada mimpinya.
Kata Rooney, dia selalu memakai pijama Everton di bilik tidur.
Everton ialah kelab pertama dia melebarkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
Sepanjang tempoh dari 2002 hingga 2004, Rooney terlibat dalam 67 perlawanan dan menyumbang 15 gol untuk kelab berkenaan.
Semasa bersama The Toffees kelab itu tidak menunjukkan sebarang kejayaan penting namun kelincahan Rooney cepat menarik perhatian ramai.
Dia kemudian dipancing Alex Ferguson untuk berhijrah ke Old Trafford pada musim 2005/05 dan menjadi antara watak terpenting di kelab itu.
Tak sabar beraksi
Bersama MU Rooney mencatat banyak kenangan manis. Antaranya lima gelaran juara EPL dan satu trofi di Liga Juara-juara.
Walaupun hubungan Rooney, 31, dengan Ferguson tidak selalu mesra, dia jarang diketepikan daripada pilihan utama yang beraksi di padang.
Kedatangan pengurus baru Jose Mourinho ke Old Trafford mengubah nasib Rooney.
Pada musim terakhir Rooney bersama MU, dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan.
Malah dia hanya menyumbang lima gol daripada 25 penampilan di EPL musim lalu, sekali gus mencatat prestasi terburuk sepanjang karier setakat ini.
"Saya sebenarnya mengenakan pijama Everton bersama anak-anak di rumah. Namun, saya perlu merahsiakannya selama 13 tahun," kata Rooney seperti dilaporkan The Telegraph.
Kini, Rooney tidak perlu lagi berahsia untuk terus menggunakan pakaian berlogo Everton.
Selama dua tahun akan datang, seragam biru itu akan sentiasa membaluti tubuhnya,
Kepulangan ke Goodison Park bagi Ronney bukan sekadar bernostalgia, malah dia melontarkan sebulat nekad untuk mengangkat reputasi kelab dari Liverpool itu.
"Pada 13 tahun lalu, saya berhijrah ke MU dengan tujuan meraih trofi. Saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada musim cemerlang dan bersejarah mereka.
"Sekarang, saya kembali ke Everton kerana yakin Ronald Koeman (pengurus Everton kini) sedang mempersiapkan pasukan untuk memenangi sesuatu.
"Saya tidak sabar untuk beraksi bersama kelab yang menjadi pujaan pada masa kecil. Memenangi trofi akan menjadi kemuncaknya," jelas Rooney.

