Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perlawanan ke-15 Liga Super bakal menghidangkan pertemuan gergasi Timur dan Selatan antara pasukan Pahang yang bakal melayan kunjungan skuad JDT, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.

Imbasan perlawanan lalu melibatkan kedua-dua pasukan di gelanggang keramat Tok Gajah itu mencatatkan rekod duka buat barisan pemain Harimau Selatan.

Mereka ditewaskan dengan jaringan 1-3 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada 1 April lalu itu.

Namun, Safiq Rahim dan rakan-rakan berjaya membalas dendam ke atas Pahang melalui kemenangan 2-1 pada perlawanan kedua di Larkin itu walaupun terpaksa akur dengan kemenangan secara agregat melayakkan Pahang ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, JDT ketika itu bukan apa yang ada pada mereka hari ini. Harimau Selatan kini mendapat tambahan tenaga baru sama ada pemain dan jurulatih mereka.

Ulisses Morais pastinya merencana sesuatu untuk JDT tampil lebih ghairah berdepan Pahang selepas merehatkan semua pemain utama termasuk pemain import pada saingan kumpulan D, Piala Malaysia berdepan Terengganu, Jumaat lalu.

Keberadaan Mohammed Ghaddar dalam pasukan JDT kini mungkinkah sekali lagi menjadi pengancam gawang Pahang? Selepas pemain kelahiran Lubnan itu pernah membantu Kelantan menewaskan Tok Gajah di Darul Makmur pada 6 Mei lalu.

Selain itu, JDT juga mempunyai Natxo Insa yang dibawa dari Sepanyol yang sudah mempamerkan kebolehannya mengemudi jentera tengah ketika Harimau Selatan membelasah Sarawak dalam perlawanan Piala Malaysia, 4 Julai lalu.

Sementara itu dalam skuad kendalian Dollah Salleh pula, prestasi mereka dalam tiga perlawanan terkini menemui jalan buntu untuk meraih kemenangan.

Selepas berehat panjang kira-kira sebulan pada pertengahan musim, mereka dikejutkan dengan kekalahan pada Felda United di gelanggan lawan dalam saingan Liga Super, 1 Julai lalu.

Kemudiannya, mereka mencatat dua keputusan seri bertemu negeri Sembilan dan PKNK FC dalam cabaran kumpulan A Piala Malaysia 2017.

Kini, antara JDT dan Pahang dipisahkan dengan sembilan mata yang mana Harimau Selatan gah di puncak liga dengan meraih 33 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.

Pahang pula di tangga kedua dengan 24 mata menyamai kutipan pasuakn di tangga ketiga iaitu Kedah. Justeru, Pahang nampaknya perlu melakukan kerja rumah dengan sempurna jika mahu kekal pada kedudukan itu.

Jika berjaya, mereka sekurang-kurangnya boleh merapati jurang perbezaan dengan JDT untuk terus bersaingan merebut gelaran juara musim ini.

Apakah Tok Gajah akan mengamuk di gelanggang keramat mereka? Atau diaibkan hadapan penyokong mereka sendiri bakal dinanti dengan penuh debaran oleh peminat bola sepak tanah air. 

 

Lihat Komen
ADS