Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam misi memburu tiga mata penting untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan, skuad bola sepak Pulau Pinang diingatkan agar tidak memandang mudah cabaran PKNS walaupun bermain di laman sendiri di Stadium Batu Kawan esok.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan berkata, baki lapan lagi pelawanan terakhir itu adalah sangat penting untuk memastikan skuad Harimau Kumbang kekal dalam Liga Super musim depan.

"PKNS merupakan satu pasukan yang berpengalaman namun pemain-pemain kita khususnya keempat-empat pemain import kini sudah bersedia untuk bermain habis-habisan dalam misi meraih tiga mata," katanya kepada pemberita, di George Town hari ini.

Beliau berharap pemain-pemainnya akan mengambil peluang bermain di laman sendiri di depan penyokong-penyokong Harimau Kumbang untuk menghasilkan kemenangan.

"Buat pertama kalinya kesemua empat pemain import Brandon Mcdonald, Mark Hartmann, Nigel Dabinyaba dan Sanna Nyassi akan dapat beraksi dalam pelawanan esok. Saya yakin mereka akan berikan apa yang ada untuk mencipta kemenangan pertama di laman sendiri," katanya.

Zainal Abidin berkata skuad Harimau Kumbang yang kini menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dalam Liga Super, masih berpeluang membaikii kedudukan untuk kekal beraksi di Liga Super musim depan Katanya pemain-pemain Pulau Pinang telah menunjukkan peningkatan khususnya dalam pelawanan menentang pendahulu liga JDT walaupun gagal memungut sebarang mata selepas kalah 0-2.

"Kami akan bekerja lebih keras dan akan berusaha lebih gigih pada lapan perlawanan seterusnya dan merealisasikan kemenangan kerana tiada apa yang lebih penting daripada kemenangan," katanya.

Beliau turut meminta penyokong setia skuad Harimau Kumbang untuk turun memenuhi Stadium Batu Kawan malam esok kerana sokongan mereka pastinya akan memberi impak luar biasa kepada pemain.

Selepas 14 pelawanan, Pulau Pinang hanya mampu mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Felda dan tiga keputusan seri lawan Melaka United, PKNS dan Kelantan.

Lihat Komen
ADS