Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Dee Roo pengarah teknikal baru FAM
Diterbitkan:  Jul 11, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Peter De Roo sebagai pengarah teknikal yang baru sekali gus menggantikan posisi Fritz Markus Schmid.

Badan induk bola sepak negara dalam kenyataan hari ini berkata, bekas pemain bola sepak Belanda itu bakal memulakan tugas beliau pada 1 September depan.

"Beliau bermain secara profesional di Belanda selama 12 tahun bersama kelab BV Veendam dan SC Cambuur.

"Selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak, beliau telah melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan telah dilantik sebagai pangarah teknikal kepada kelab Cambuur Leeuwarden," kata kenyataan tersebut.

Pada tahun 2009, Dee Roo telah berhijrah ke Australia dan dilantik sebagai pengarah teknikal Pusat Kecemerlangan Persatuan Bolasepak Australia, Institut Sukan Australia (FFA) dan pasukan kebangsaan Australia Bawah-16 dan Bawah-17 pada tahun 2012.

"Dia memiliki lesen khas melatih pemain muda elit dari Persatuan Bola Sepak Belanda, lesen AFC Pro Diploma serta Lesen Bola Sepak Bersyarat dari Persatuan Bola Sepak Australia," katanya.

Menurut FAM, Dee Roo juga telah membawa pasukan kebangsaan Australia Bawah-17 ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFC Bawah-16 pada tahun 2014 di Thailand sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2015 Bawah-17.

"Kejohanan yang berlangsung di Chile itu telah menyaksikan beliau berjaya membawa pasukannya layak ke peringkat 16 pasukan terbaik pada tahun tersebut," tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Schmid yang juga bekas pembantu jurulatih Austria menduduki jawatan itu untuk tempoh tiga tahun bermula Mei 2014.

 

Lihat Komen
ADS