Paling Popular
Terkini

Turun dengan hampir semua pemain menggayakan kepala botak atau rambut separa botak, JDT berjaya menakluk Stadium Darul Makmur di Kuantan dengan menundukkan Pahang 2-0 sebentar tadi.

Perlawanan ke-15 Liga Super itu menyaksikan misi skuad Harimau Selatan meraih tiga mata penuh tercapai, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka di puncak mengatasi pasukan lain.

Anak buah Ulisses Morais semakin hampir untuk merangkul kejuaran Liga Super buah kali keempat berturut-turut dengan hanya tujuh perlawanan masih tersisa.

Malam ini, tuah Syafiq Rahim dan rakan-rakan hadir pada minit awal dan akhir tempoh perlawanan.

Pasukan penyandang juara sejak musim 2014 itu menjarakkan kedudukan mereka seawal minit kedua.

Gonzalo Cabrera memanfaatkan hantaran lintang Mohammed Ghaddar dari arah kanan gawang tuan rumah dengan melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Wan Azraie Wan Teh.

Kedudukan 1-0 itu memaksa Pahang lebih bekerja keras sama ada di posisi pertahanan dan serangan.

Mereka pastinya sedar JDT bukan pasukan biasa-biasa, bagaimanapun rentak dan kawalan percaturan Dollah Salleh dilihat mudah dibaca pihak lawan.

Sebaliknya JDT, nampak lebih selari dengan momentum permainan agresif dan berwaspada walaupun dicabar hebat.

Kelibat pemain seperti Natxo Insa, Syafiq dan Amirul Hadi Zainal di bahagian tengah begitu menghidupkan jentera serangan khususnya di babak separuh masa kedua.

Pahang pula, percaturan mereka banyak berlaku di posisi sayap kiri dan kanan.

Penyerang Pahang tumpul

Namun, kaki penyerang mereka begitu tumpul malam ini untuk melakukan penyudah sempurna walaupun peluang terhidang di depan mata.

Pahang mudah dikepung benteng pertahanan JDT setiap kali mereka melakukan serang.

Ia memaksa beberapa percubaan jarak jauh dilakukan penyerang skuad Tok Gajah.

Mohamadou Sumareh meraih peluang pada minit ke-68 dengan menerima hantaran lintang di kawasan kotak penalti JDT.

Namun, penyerang dari Gambia itu gagal melakukan penyudah sempurna walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi.

Menjelang minit-minit akhir perlawanan, Insa menambah derita pasukan tuan rumah dengan gol kedua untuk pasukannya pada minit ke-86.

Keputusan itu membolehkan JDT mengutip mata ke-36 milik mereka dengan 11 kemenangan, tiga seri dan sekali tewas selepas 15 perlawanan diharungi.

Sementara itu, kekalahan Pahang pula meletakkan mereka di tangga ketiga selepas dipintas pasukan Kedah yang meraih tiga mata berdepan Melaka United.

Keputusan-keputusan lain: 

Melaka United 2-4 Kedah
T-Team 3-1 Kelantan
Pulau Pinang 0-2 PKNS FC
Perak 0-1 Selangor
Sarawak 1-3 Felda United
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS