Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah diasak penyokong setia Bujang Senang supaya meletakkan jawatan, David Usop akhirnya beralah apabila mengumumkan untuk mengundur diri daripada mengendalikan pasukan Sarawak dalam kempen Liga Malaysia berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata keputusan itu adalah tanpa tekanan daripada mana-mana pihak, sebaliknya rasa tanggungjawab sebagai jurulatih profesional selepas gagal membawa kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) , Abdul Wahet Uji,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Abdul Wahet di Stadium Negeri, Petra Jaya, di Kuching hari ini.

David berkata keputusannya akan dimaklumkan kepada Presiden FAS, Datuk Posa Majais dan menyerahkan nasibnya kepada barisan pengurusan pasukan.

Susulan keputusan mengejut itu, katanya, penolong jurulatih, Pengiran Bala akan memangku tugasnya membimbing skuad itu.

"Saya percaya beliau mampu kerana mempunyai pengalaman luas. Bagaimanapun, terpulang kepada pengurusan untuk membuat keputusan lanjut,”katanya.

Sebagai rekod, David mula mengendalikan skuad Bujang Senang bermula Mei 2016 selepas menggantikan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Selepas prestasi hambar musim ini, David secara berterusan menerima kritikan serta desakan daripada penyokong agar melepaskan jawatan.

Selepas kalah 3-1 kepada Felda United dalam saingan Liga Super semalam, Sarawak kini berada di tangga ke-10 liga dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga ke empat kemenangan daripada baki lapan perlawanan jika mahu bersaing sekali lagi di Liga Super musim depan.

Di kempen Piala Malaysia, Sarawak terus tunjukkan prestasi hambar bila tewas dua kali berturut-turut dalam Kumpulan D, kumpulan yang dilabel sebagai kumpulan maut kerana dibarisi passukan seperti Johor Darul Ta'zim, Selangor dan Terengganu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS