JDT tersungkur, Kedah 'kena gomo'

       

Malam yang malang untuk pasukan-pasukan gergasi liga Malaysia pada aksi ketiga saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2017.

Pasukan di tangga teratas Liga Super, JDT tewas 2-3 berdepan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Sentuhan bekas penyerang Harimau Selatan, Amri Yahyah yang kini bersama skuad The Red Giants muncul sebagai hero pasukannya sekali gus membawa Selangor mendahului kumpulan D.

Selangor membuka jaringan pada minit ke-33 melalui Fairuz Abd Aziz sebelum Amri menambah jaringan kedua dua minit berselang.

Kedudukan 2-0 bagaimanapun berubah pada separuh masa kedua, selepas JDT bangkit menyamakan kedudukan.

Ahmad Hazwan Bakri yang juga bekas penyerang Selangor tampil merapatkan jurang gol pada minit ke-56 sebelum gol penyamaan hadir melalui sentuhan Darren Lok pada minit ke-69.

Namun, kedudukan 2-2 itu berakhir di penghujung tempoh 90 minit perlawanan apabila Amri berjaya membenam bekas pasukannya dengan menghadiahkan gol kemenangan membolehkan skuad kendalian P Manian meraih tiga mata penuh.

Sementara itu di Kota Bharu menyaksikan keputusan berpihak kepada pasukan tuan rumah dengan menewaskan penghuni tangga kedua Liga Super iaitu Kedah dengan jaringan 3-1.

Skuad The Red Warriors (TRW) ternyata melakar kejutan selepas prestasi merudum pada beberapa perlawanan lalu.

Pada aksi kumpulan C itu, anak buah Zahasmi Ismail tampil dengan gol pertama melalui Margaro Gomis pada minit ke-54 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada 45 minit pertama.

Setelah itu, giliran Abou Bakr Al-Mel pula menggandakan jaringan untuk gol kedua Kelantan pada minit ke-65 sebelum pasukan pelawat memperolehi gol sepakan penalti kira-kira lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Bagaimanapun sebelum wisel tamat perlawanan ditiupkan pengadil, Abou Bakr berkesempatan menghasilkan gol ketiga untuk pasukan Kelantan.

Keputusan-keputusan lain:

Melaka United 2-1 UiTM FC
Felda United 1-1 Perak
T-Team 1-1 Pahang
PKNS FC 0-0 Kuala Lumpur
Sarawak 0-0 Terengganu
PNKP FC 2-0 Negeri Sembilan

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.