Selepas sebulan, Afandi ganti Gonzales

   

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini melakukan rombakan terhadap pengurusan The Red Warriors dengan melantik Pemangku Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah sebagai pengurus pasukan.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, Alfredo Gonzales yang memegang jawatan itu sebelum ini kembali memegang jawatan pengarah teknikal.

Beliau berkata, Datuk Nasir Hamzah dan Zahasmi Ismail masing-masing kekal sebagai penolong pengurus dan ketua jurulatih.

“Susulan pertukaran Gonzales sebagai pengarah teknikal, Zahasmi kini diberikan diberikan kuasa penuh untuk menjalankan latihan dan menyusun strategi pasukan.

“Rombakan dilakukan selepas The Red Warriors mengalami kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Kelantan kini berada pada kedudukan kelapan Liga Super selepas mengharungi 16 perlawanan dengan merekodkan enam kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan.

Bagi aksi Piala Malaysia, ia berada di kedudukan ketiga Kumpulan C di belakang Kedah dan Melaka United daripada tiga perlawanan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.