Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas mengatasi Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama Rabu lalu, sebentar tadi pasukan bawah 22 tahun (B-22) Malaysia gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas 3-0 berdepan Thailand, sebentar tadi.

Pada aksi kedua kumpulan H, Kelayakan Piala AFC 2018 itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee dilihat melalui perlawanan sukar di Stadium Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok.

Hampir 30 minit sebaik sepak mula, skuad Projek Sukan SEA 2017 itu terancam dengan asakan demi asakan pasukan tuan rumah.

Jarang sekali boleh dilihat bola berjaya dihantar pemain negara ke kawasan bahaya atau pertahanan Thailand.

Malah, Adib Zainudin dan rakan-rakan dilihat terpaksa berkampung di kawasan sendiri untuk bertahan.

Skuad muda Thailand menggunakan taktikal beragam dalam penguasaan serangan sekali gus memanfaatkan setiap peluang.

Mereka penguasai bola, hantaran dan bijak merampas kembali bola di kaki pemain Malaysia.

Minit ke-24 perlawanan, penyerang tuan rumah Chenrop Samphaodi meletakkan Thailand di depan dengan kedudukan 1-0.

Dengan kedudukan sedikit selesa, skuad muda Thailand terus mengasak kubu pertahanan Malaysia yang ditidak sukar untuk melakukan kebangkitan.

Kelibat pemain negara begitu tenggelam dengan dominasi dan rentak persembahan pasukan lawan.

Menjelang waktu rehat, tuan rumah sekali lagi melalui sentuhan Samphaodi berjaya meraikan gol kedua mereka.

Kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, tiada perubahan drastik disajikan dalam aspek persembahan anak buah Kim Swee.

Namun, skuad Thailand dilihat mula memperlahankan tempo permainan mereka. 

Keadaan itu sedikit sebanyak memberi peluang untuk pemain Malaysia menyerang walaupun peluang dihasilkan begitu minima susulan kekuatan lawan dalam bertahan.

Bagaimanapun menjelang penghujung tempoh 90 minit perlawanan, Thailand sekali membuktikan ketajaman mereka dengan gol ketiga oleh Picha U-Tra untuk kesudahan 3-0.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan H petang tadi menyaksikan pasukan Indonesia tampil garang membelasah pasukan Mongolia dengan jaringan 7-0.

Perlawanan ketiga selepas ini akan melibatkan pertemuan Malaysia berdepan Mongolia dan Thailand berdepan Indonesia, dijadualkan pada Isnin depan.

Lihat Komen
ADS