Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
11 pasukan rebut kejuaran Piala Agong
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 5:39 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Juara bertahan Perak adalah antara 11 pasukan yang akan berentap bagi merebut gelaran juara Piala Agong 2017 yang akan membuka tirai Sabtu ini hingga 26 Ogos depan.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) selaku penganjur kejohanan yang memasuki edisi ke-35 memaklumkan sembilan daripada 11 pasukan tersebut akan dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Perak diletak dalam Kumpulan A bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kedah, sementara Johor, Kelantan dan Perlis diundi dalam Kumpulan B.
Kumpulan C pula dibarisi Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Negeri Sembilan.

Sementara dua pasukan lagi iaitu Sabah dan Sarawak mendapat ‘bye’ dan layak secara automatik ke peringkat suku akhir.

"Ini merupakan kejohanan tahunan peringkat kebangsaan bagi kategori 15 Sebelah yang akan dikelolakan bersama Persatuan Ragbi Negeri Terengganu selaku tuan rumah bagi perlawanan separuh akhir dan akhir,” kata KRM dalam kenyataan, hari ini.

Perlawanan peringkat suku akhir akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 21 Ogos manakala aksi separuh akhir dan akhir akan berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu pada 24 dan 26 Ogos.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, diikuti RM10,000 bagi naib juara sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM7,000 dan RM5,000.
 

Lihat Komen
ADS