Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Dikejutkan dengan gol tunggal pasukan Perak di penghujung separuh masa pertama, JDT tiada masalah untuk kembali bangkit.

Aksi ke-18 Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi, berpihak kepada Harimau Selatan dengan keputusan 2-1.

Anak buah Ulisses Morais mempamerkan penguasaan di padang keramat mereka seawal masa permainan.

Malah, Safiq Rahim dan rakan-rakan turut mendominasi posisi serangan dengan beberapa percubaan.

Namun penjaga gol skuad Bos Gaurus, Muhamad Hafizul Hakim bertindak cemerlang melakukan aksi penyelamatan.

Kedudukan 0-0 bagaimanapun berubah melalui sepakan bebas dilakukan Hafiz Kamal untuk Perak berada di depan pada minit ke-45.

Jaringan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Bos Gaurus bakal mengulangi kemenangan mereka ke atas JDT pada perlawanan pusingan pertama Februari lalu.

Tetapi segalanya sementara, kembali dari bilik persalinan untuk aksi 45 minit kedua pasukan tuan rumah bangkit mempamerkan taring mereka.

Pemain pertahanan JDT, Fadhli Shas tampil menggembirakan penyokong mereka dengan gol penyamaan pada minit ke-46.

Kedudukan 1-1 sekali gus memberi tekanan pada kedua-dua pasukan untuk memburu jaringan kemenangan.

Penguasaan permainan tetap menjadi milik JDT, manakala Perak terpaksa mengukuhkan kubu pertahanan mereka daripada asakan-asakan lawan.

Penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Mohammed Ghaddar akhirnya mewujudkan jurang pemisah selepas meledak gol kedua untuk JDT pada minit ke-58.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT mengukuhkan keberadaan mereka di puncak liga dengan mengutip 45 mata.

Sementara itu di Stadium Darulaman, Alor Setar menyaksikan pasukan Kedah berpesta gol dengan menewaskan Kelantan 5-0.

Kemenangan itu sekali gus menjarakkan kedudukan skuad Helang Merah di posisi kedua carta Liga Super dengan kutipan 34 mata berbanding Pahang yang mengumpul 30 mata di tangga ketiga.

Keputusan-keputusan lain:

Felda United 3-1 Selangor
Melaka United 4-2 Sarawak
Penang 2-0 Pahang
PKNS FC 2-1 T-Team

 

 

 

 


 

Lihat Komen
ADS