Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Farahiyah nekad atasi sasaran FAM
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 5:36 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin memilih untuk meletakkan sasaran ‘selamat’ buat pasukan futsal wanita negara, sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, nanti.

Namun bagi kapten pasukan, Farahiyah Mohd Ridzuan nekad untuk mengatasi sasaran tersebut.

Pemain 24 tahun itu berkata, mengenggam pingat gangsa semata-mata adalah tidak memadai kerana Malaysia sudah meraihnya di edisi Myanmar 2013 justeru tekad membantu pasukan negara memburu pencapaian lebih baik kali ini.

"Kali ini saya lihat peluang kita lebih baik bukan sahaja kerana kita bermain di tempat sendiri, tetapi kerana kita dibarisi ramai pemain muda yang bersemangat juang tinggi. Saya percaya dengan kebolehan rakan sepasukan yang sentiasa memberi komitmen terbaik.

"Kita mempunyai skuad yang lebih seimbang berbanding 2013, keserasian antara pemain juga semakin baik. Saya fikir tidak mustahil kita boleh berikan tentangan sengit kepada dua pasukan pilihan Thailand dan Vietnam untuk memburu emas," kata Farahiyah seperti dilaporkan laman kualalumpur2017.

Pemain bertubuh kecil dari Kelantan itu mula menyarung jersi pasukan kebangsaan sejak berusia 14 tahun sekali gus mewakili skuad negara di Sukan SEA 2013.

Thailand mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada 2007 dan 2011 buat kali ketiga berturut-turut setelah menewaskan Vietnam dengan keputusan 5-0 di perlawanan akhir. Futsal tidak dipertandingkan pada edisi Laos 2009 dan Singapura 2015.

Bagi edisi 2017, saingan sekali lagi akan membabitkan lima pasukan sama yang berentap empat tahun lalu iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.

Pada aksi pertama, Malaysia negara berdepan Myanmar pada 18 Ogos diikuti Indonesia (20 Ogos), Vietnam (22 Ogos) dan Thailand (27 Ogos). Dua pasukan teratas peringkat kumpulan akan mara ke final untuk menentukan pemenang emas.

Sementara itu, jurulatih skuad futsal wanita, Muizzudin Harris berkata, prestasi semasa pemainnya berada dalam tahap terbaik setelah mengharungi beberapa aksi persahabatan pada Jun dan Julai.

Antaranya, dua perlawanan menentang Hong Kong, skuad negara menang kedua-dua perlawanan dengan keputusan 5-3 dan 2-1 manakala dua lagi perlawanan menentang Taiwan berkesudahan dengan seri 3-3 dan tewas 3-6.

Farahiyah dan rakan-rakan kini giat menjalani latihan fasa akhir di Kompleks Sukan Panasonic menjelang temasya Sukan SEA yang bakal berlangsung dalam tempoh 18 hari lagi.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS