Pasukan bola sepak Piala Presiden Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing didenda RM5,000 serta dilucutkan hak bagi perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Badan induk bola sepak itu dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua pasukan itu didapati bersalah selepas melanggar Artikel 71 dan Artikel 57 Kod Tatatertib FAM kerana menurunkan pemain yang tidak layak beraksi pada saingan Piala Presiden, pada Isnin lepas.

Terengganu menurunkan Mohd Ridzuan Mohd Razali sewaktu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Sementara Kuala Lumpur pula menurunkan Faiz Hanif Adnan pada pertemuan menentang Selangor di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

"Pasukan Terengganu dan Kuala Lumpur dikira telah kalah pada perlawanan tersebut dengan jaringan 0-3 kepada lawan masing-masing," kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu.

FAM turut mengesahkan bahawa keputusan tersebut tidak boleh dirayu.

-Bernama