Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Malam ini akan menjadi malam pesta untuk seluruh penyokong dan pengurusan skuad Harimau Selatan sekiranya mereka berjaya menewaskan Selangor untuk bergelar juara Liga Super 2017.

Malah, lebih penting kejayaan musim ini adalah kali keempat berturut-turut untuk JDT terus mendominasi kancah bola sepak Malaysia.

Namun, nasib mereka kini berada di kaki barisan pemain Selangor, sama ada akan mengesahkan kejuaraan lebih awal atau sebaliknya.

Dan Selangor seboleh-bolehnya enggan berputih mata dengan memberi laluan mudah untuk JDT berpesta meraikan kejayaan di gelanggang mereka.

Berbaki empat perlawanan jurulatih Selangor, P Maniam sedar JDT hanya perlukan tiga mata penuh berdepan anak buahnya pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Justeru dia berharap, The Red Giants tidak tercicir mata penting pada aksi getir itu terutama memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"JDT akan turun dengan barisan terbaik kerana mereka sangat memerlukan kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan dan ia sudah pasti bukan tugas mudah buat kami.

"Saya harap semua pemain dapat beraksi dengan baik untuk meraih keputusan positif dan sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata," katanya, seperti dilaporkan media tempatan.

Selangor turun dengan misi mengejar kedudukan empat terbaik Liga Super, manakala JDT mahukan kemenangan untuk mencipta sejarah menjuarai liga utama itu buat kali keempat berturut-turut.

JDT yang dibimbing Ulisess Morais kini mengumpul 48 mata selepas 18 perlawanan dengan kelebihan 11 mata berbanding pasukan Kedah di kedudukan kedua.

Malam ini akan jadi penentuan, sama ada mereka akan mengesahkan kejuaraan lebih awal dengan tiga perlawanan musim ini masih berbaki atau sebaliknya.

Sementara itu, Selangor kini berada pada kedudukan kelima liga selepas tewas 1-3 kepada Felda United FC, pada 26 Julai lalu.
 

Lihat Komen
ADS