Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Amri, Andik sekat JDT tapi Kedah bagi laluan
Diterbitkan:  Aug 5, 2017 11:11 PM
Dikemaskini: 3:41 PM

Dua pemain Selangor iaitu Amri Yahyah dan Andik Vermansah berjaya untuk memastikan hasrat JDT mengesah kejuaraan mereka musim ini terhalang.

Namun, keputusan perlawanan antara Pahang dan Kedah berpihak kepada skuad Tok Gajah sekali gus mengizinkan JDT mengesahkan kejuaraan keempat berturut-turut mereka.

Jaringan dua tonggak utama The Red Giants itu sekali gus menewaskan Harimau Selatan 2-1 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Untuk rekod, JDT hanya memerlukan tiga mata untuk memastikan mereka mengulangi kejuaraan buat kali keempat berturut-turut, namun Selangor nampaknya gagal juga menghalang anak buah Ulisses Morais meraikan kejayaan mereka.

Ternyata sudah waktunya untuk JDT berpesta meraikan kejayaan mereka dalam kancah saingan Liga Super musim ini ketika masih ada tiga perlawanan berbaki.

Aksi 45 minit pertama menyaksikan, JDT lebih banyak menguasai perlawanan walaupun mendapat tentangan sengit pasukan tuan rumah.

Selepas terikat 0-0 hampir 40 minit perlawanan berlangsung, Natxo Insa tampil meletakkan JDT di depan untuk gol tunggal pasukannya.

Bagaimanapun, separuh masa kedua penguasaan kembali kepada anak buah P Maniam khususnya dalama aspek serangan.

Kerja keras pertahanan JDT akhirnya berjaya dibolosi melalui sentuhan Amri pada minit ke-59 menjadikan kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan bekas pemain JDT itu dilihat menjadi tonik kebangkitan Selangor di gelanggang mereka.

Mereka menghantar asakan bertali-arus walaupun pasukan lawan juga sempat mencemaskan zon bahaya mereka.

Bagaimanapun, hampir 20 minit berselang, Andik tampil menjadi wira pasukan dengan meledak gol kemenangan Selangor.

Hantaran panjang rakan sepasukan berjaya disusuli rembatan Andik dari luar kotak penalti menewaskan Izham Tarmizi.

Keputusan 2-1 itu menyaksikan kekalahan kedua JDT pada musim ini, namun kejuaraan tetap di tangan mereka.

Kutipan 45 mata daripada 19 perlawanan sudah cukup untuk Harimau Selatan selepas pasukan Kedah di tangga kedua mengumpul 34 mata dengan baki tiga perlawanan.

 

Lihat Komen
ADS