Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Dilatih bersama atlet Mongolia, Farhan mahu tamatkan badi

Atlet judo negara Mohd Farhan Uzair Mohd Fikri mahu memanfaatkan beraksi di gelanggang sendiri untuk menamatkan kemarau 36 tahun skuad judo tanpa pingat emas di Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menurut atlet berusia 21 tahun ini, persediaan kali ini lebih mantap apabila beliau diberi pendedahan dan latihan yang lebih baik bersama atlet judo Mongolia Davaadorjiin Tömörkhüleg yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

"Dengan sesi latihan ini, saya yakin mampu lakukan lebih baik dan insya-Allah saya dapat merangkul pingat emas dalam sukan judo, sekali gus meningkatkan kutipan emas negara,” katanya yang akan beraksi dalam kategori bawah 73kg.

Mohd Farhan ditemui pada sesi sidang media program Kita Juara yang diadakan di Hotel Renaissance yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara yang sedang menjalani kem fasa akhir.

Pada edisi di Singapura, Mohd Farhan meraih pingat gangsa selepas menumpaskan lawannya dari Filipina acara bawah 66kg.

Sementara itu jurulatih skuad judo negara, Marjan Abdullah berkata Sukan SEA kali ini adalah lebih mencabar kerana beraksi di hadapan penonton dan penyokong tempatan.

Beliau yakin pendedahan dan sesi latihan yang dijalani para atlet dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka apabila berdepan lawan nanti.

"Saya yakin atlet kita akan melakukan yang terbaik kerana mereka telah diberikan pendedahan dan latihan yang mencukupi berbanding sebelum ini,” katanya.

Acara judo dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan enam acara akan dipertandingkan.

Untuk rekod, pada temasya di Singapura dua tahun lepas, skuad judo negara sekadar berpuas hati dengan lima pingat gangsa.

Manakala kali terakhir judo meraih emas dalam temasya dwitahunan itu adalah pada edisi 1981 di Manila, Filipina dengan satu emas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS