Pengurus Manchester United, Jose Mourinho nekad untuk berusaha gigih bagi mendapatkan bintang Wales, Gareth Bale sekiranya penyerang itu mahu meninggalkan Real Madrid.

Ia susulan gosip kencang melanda pemain itu sejak musim lalu menyatakan Bale mahu meninggalkan Santiago Bernabeu.

Mourinho mahu melihat sama ada pemain itu diturunkan oleh pengurus Madrid, Zinedine Zidane pada perlawanan Piala Super Eropah berdepan skaud The Red Devils, awal pagi nanti.

"Jika Bale bermain, ertinya dia masih mahu beraksi bersama Real Madrid.

"Jika dia tidak bermain, saya akan bertarung dengan kelab lain dan cuba mendapatkannya," kata jurulatih dari Portugal itu.

Masa depan Bale bersama Madrid mendatangkan tanda tanya selepas kelab itu mahu menggunakan khidmat bintang muda AS Monaco, Kylian Mbappe.

Jika pemain berusia 18 tahun itu berpindah ke Sepanyol, Zidane dikatakan bakal melepaskan Bale.

"Jika Bale berada di pintu keluar, saya akan menantinya di sebalik pintu itu," jelas Mourinho.

Bale berkhidmat bersama Madrid sejak 2013 selepas meninggalkan kelab pertamanya Tottenham dengan status pemain termahal dunia ketika itu.