Pengurus Manchester United (MU), Jose Mourinho mengakui harapannya untuk mendapatkan penyerang Real Madrid, Gareth Bale sudah malap.

Selepas menyatakan minat untuk membeli pemain kebangsaan Wales itu, jurualtih dari Portugal itu terpaksa akur dengan keyakinan bahawa Bale mahu kekal bersama Madrid.

Ia susulan, pemain 28 tahun itu diturunkan dalam skuad utama kelab bimbingan Zinedine Zidane dalam aksi Piala Super Eropah sekali gus membantu pasukan menewaskan MU 2-1, awal pagi tadi.

Terdahulu, Mourinho beranggapan sekiranya Bale tidak beraksi pada perlawanan tersebut MU berpeluang untuk cuba mendapatkan pemain itu.

"Saya fikir begitu, jelas kelab masih mahukannya dan dia mahukan kelab. Permainan (persaingan) selesai walaupun belum bermula.

"Semua orang tahu dia akan bertahan (di Real Madrid)," katanya seperti dilaporkan The Guardian.

Sebelum ini, masa depan Bale bersama Madrid mendatangkan tanda tanya selepas kelab itu mahu mendapatkan khidmat bintang muda AS Monaco, Kylian Mbappe.

Jika pemain berusia 18 tahun itu berpindah ke Sepanyol, Zidane dikatakan bakal melepaskan Bale.