Kali kedua Liverpool kecewakan Barcelona
Liverpool nampaknya tetap dengan pendirian untuk mempertahankan ayam tambatan mereka, Philippe Coutinho di Anfield selepas menolak tawaran kedua Barcelona bagi mendapatkan khidmat pemain itu.
Barcelona tampil dengan tawaran lebih besar, namun The Kop tetap memberi jawapan mengecewakan.
media tempatan melaporkan, tawaran kedua kelab gergasi Sepanyol itu dianggarkan bernilai 100 juta euro (504 juta) membabitkan bayaran pendahuluan 85 juta euro (RM428 juta) dan sejumlah bonus sebanyak 15 juta euro (RM76 juta).
Bagaimanapun, tawaran itu belum cukup untuk menggugat pendirian Liverpool sekali gus menolaknya.
Terdahulu, Coutinho dilamar skuad Blaugrana dengan yuran perpindahan 80 juta euro (RM403 juta) bagi membawa pemain kebangsaan Brazil itu ke Sepanyol.
Namun Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan betapa Coutinho tidak akan dilepaskan dengan harga setinggi mana sekali pun.
Juurlatih dari Jerman itu juga menasihati supaya Barcelona tidak membuang masa dengan cubaan tersebut.
Coutinho kini masih terikat kontrak dengan Liverpool hingga 2022, malah pemain 25 tahun itu baru saja memperbaharui kontraknya pada Januari lalu.
Kini, pemerhati bola sepak begitu tertarik untuk melihat perkembangan usaha Barcelona yang berkemungkinan memberi tawaran ketiga dengan nilai lebih besar untuk Coutinho.
Gergasi bola sepak Sepanyol itu ketika ini mempunyai modal besar selepas menjual penyerangnya, Neymar ke Paris Saint-Germain dengan nilai 222 juta euro (RM1.1 bilion).
Kini, Barcelona berada dalam tekanan tersendiri untuk mencari pengganti sepadan dengan Neymar. Sekiranya misi mendapatkan Coutinho gagal, mereka dikatakan bakal menyunting pemain Borussia Dortmund, Ousmane Dembele.

