Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Malaysia sedia pertahan emas untuk bola keranjang

SUKAN SEA | Temasya sukan terbesar di Asia Tenggara minggu depan bakal menjadi medan ujian utama untuk kedua-dua skuad bola keranjang negara selepas melakukan persiapan hampir setahun.

Sukan bola keranjang semakin mendapat sambutan baik di Malaysia dalam beberapa tahun ini dengan penganjuran pelbagai liga dan kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

Umumnya, ramai mempunyai persepsi bahawa sukan ini tidak begitu popular, namun tidak sedikit yang bertandang dalam acara pengumuman barisan pemain dan penyerahan Jalur Gemilang yang diadakan di Stadium MABA, semalam.

Ketua jurulatih skuad lelaki Goh Cheng Huat berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang telah berlatih selama 13 hari di New Zealand bagi menaikkan keyakinan mereka dalam Sukan SEA.

"Bermain bersama pemain New Zealand sama seperti berlatih dengan pemain import ketika ABL (Asean Basketbal League). Saya rasa kita dapat menandingi mereka dengan keyakinan yang tinggi dan inilah yang saya inginkan.

"Tiada janji-janji manis, tetapi kita akan buat yang terbaik dalam Sukan SEA ini dan akan mempertahankan kubu kuat kita hingga titisan darah terakhir," kata Goh kepada wartawan.

Prestasi di kemuncak

Goh, 61, pernah mewakili Malaysia sebagai pemain dalam kejohanan bola keranjang Asia pada tahun 70-an berasa terharu dan berbangga dengan kehadiran 11 pemain Sukan SEA 1989 yang berjaya menundukkan 'gergasi' bola keranjang Filipina untuk mendapatkan pingat emas di Kuala Lumpur pada tahun itu.

Antara yang turut hadir adalah Chiang See Hon, Tan Kim Chin, Chin Chee Wai, Ch'ng Eng Hing, Cheah Hee Phong, Oi Guan Siu, Kang Choon Leong, Leow Chi Lih, Teo Poh Chye, Wong Chee Keong dan Yap Swee Sim.

Neoh Chee Cheng pula tidak dapat bersama kerana beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat.

Untuk ketua jurulatih skuad wanita pula, Yoong Sze Yuin menegaskan betapa pentingnya pemain-pemain Malaysia mempertahankan kejuaraan dan pingat emas mereka kali ini di Kuala Lumpur terutamanya di gelanggang sendiri.

Skuad wanita negara mensasarkan untuk memenangi pingat emas yang kesebelas untuk temasya kali ini. Malaysia pernah memenangi pingat emas sebanyak 10 kali pada tahun 1977, 1979, 1981, 1983, 1985, 1997, 2001, 2003, 2007 dan 2015.

"Ketika latihan intensif akhir di Taiwan, saya rasa prestasi pemain kita sudah mencapai puncaknya dan pada masa yang sama, inilah saat yang paling sesuai untuk menunjukkan kekuatan kita untuk Sukan SEA.

"Walaupun dua pemain kita menghadapi kecederaan ringan, kita mempunyai masa yang mencukupi untuk memastikan mereka bersedia nanti," kata Yoong.

Harapan skuad bola keranjang

Chee Li Wei, ketua pasukan lelaki:

Kita berada dalam prestasi yang agak baik, tapi masih perlu menyesuaikan diri menghadapi perlawanan kelak. Ini adalah Sukan SEA ketiga dan terakhir untuk saya. Kali pertama saya mewakili Malaysia pada tahun 2007, masa itu kita mendapat pingat.

Ini adalah peluang kita di gelanggang sendiri tetapi saya juga agak risau dengan tekanan bermain di tempat sendiri. Namun sebagai ketua pasukan, saya ingin memberikan yang terbaik dan menikmati pengalaman ini.

Nur Izzati Yaakob, ketua pasukan wanita:

Tekanan untuk mempertahankan kejuaraan memang ada dan selagi ramai peminat keluar menyokong, semangat kita akan menjadi lebih baik.

Bezanya tidak banyak berbanding dengan Thailand, Indonesia dan Filipina. Bagi kita, peluangnya 50-50.

Kalaimathi Ranjintiran, pemain skuad wanita:

Sejak latihan pendedahan di Jepun sampailah yang terkini di Taiwan, kita memang sudah sedia untuk lawan. Saya harap kita boleh yang buat yang terbaik.

Memang ada banyak kecederaan, walaupun tak sihat pun kena sihat. Pemikiran saya kena positif, walau apapun saya tetap akan bermain.

Perry Lim, pemain skuad lelaki:

Pengalaman latihan di New Zealand cukup bermakna untuk kami semua. Saya harap persediaan untuk Sukan SEA memadai dan berupaya mendapat pingat emas.

Tidak dapat dinafikan, kita berdepan cabaran getir bertemu Thailand, Filipina dan Indonesia tetapi saya percaya kita punyai peluang yang baik dengan persediaan kali ini.

Kehadiran pemain senior Sukan SEA 1989 yang berjaya mengalahkan Filipina pada tahun itu dan mendapat pingat emas adalah suatu penghormatan untuk kita semua meneruskan misi kali ini, dan saya mengharapkan pingat pada akhir temasya ini!

Amanat kepada pemain

Acara tersebut disampaikan oleh menteri pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan beliau juga menyampaikan amanat kepada para atlet bola keranjang untuk mempertahankan pingat emas untuk skuad wanita manakala skuad lelaki pula, beliau mengharapkan pingat kali ini.

"Dalam bola keranjang, semangat berpasukan sangat penting untuk menundukkan pihak lawan.

"Tiada ertinya kalau hanya beraksi seorang diri. Kita perlu berikan sokong penuh kepada atlet Malaysia dan usah risau, kita ada sokongan padu daripada semua rakyat Malaysia.

"Jangan lupa akhir bulan ini adalah Hari Kemerdekaan negara kita dan saya mahu kedua-dua pasukan bola keranjang mendapatkan pingat sebagai hadiah kepada semua," kata Liow.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS