Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Polo: Khairy berdepan kerabat diraja Brunei
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 6:11 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Perlawanan pembukaan acara ekuestrian polo Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Brunei pada 22 Ogos di Taman Ekuestrian Putrajaya, menyaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bakal berdepan dengan kerabat diraja Brunei.

Berdasarkan senarai pasukan yang mengambil bahagian, antara tujuh pemain yang disenaraikan dalam pasukan polo Brunei, empat pemain merupakan kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26; Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, 33; Pengiran Muda Bahar Bolkiah, 36; dan Pengiran Muda Abdul Qawi, 43.

Putera Abdul Mateen merupakan barisan keenam pemegang takhta kesultanan Brunei, dikenali ramai sebagai aktif bersukan manakala kekandanya, Azemah Ni’matul antara dua pemain polo wanita bagi acara ekuestrian polo KL2017.

Bagi pasukan Malaysia, Khairy, yang merupakan menteri pertama di rantau ini yang mengambil bahagian dalam sukan dwitahunan itu, akan bermain bersama enam pemain utama polo Malaysia.

Mereka ialah Shaik Reismann Mohamed Ismail, Muhammad Faizal Abu Bakar, Abdul Rashid Hasnan, Amran Selamat, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman dan Mohd Zulhelmi Nadzar.

Pengurus pasukan Malaysia, Mohamad Zekri Ibrahim melahirkan rasa bangga kerana Khairy menyertai pasukan itu, tambahan pula menteri berkenaan adalah seorang pemain polo yang berpengalaman dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam permainan itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS