Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Bagi membentuk pasukan yang mantap untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad ragbi tujuh sebelah (7’s) negara telah mendapatkan khidmat bekas ketua pasukan New Zealand 7’s, Edwin Cocker sebagai jurulatih taktikal.

Cocker yang pernah menjuarai lima World Rugby Seven Series bersama pasukan All Black 7's terlibat dalam membantu kedua-dua skuad lelaki dan wanita dalam usaha memenangi pingat pada temasya sukan edisi ke-29 itu.

Naib Presiden Ragbi Malaysia Amir Amri Mohamad berkata Cocker telah terlibat secara langsung dalam skuad ragbi kebangsaan sejak November tahun lepas dan telah beberapa kali datang ke Malaysia.

"Beliau turut terlibat dalam pemilihan pemain bagi skuad lelaki dan wanita. Kita juga pernah bawa skuad lelaki untuk sesi latihan di Auckland selama dua minggu bersama dengan Edwin. Semua maklumat pemain akan dihantar terus kepada beliau termasuk maklumat dan keputusan ujian daripada pihak Institut Sukan Negara untuk dinilai," katanya kepada Bernama semasa sesi latihan skuad ragbi di Universiti Putra Malaysia, Selangor.

Tambahnya, Cocker akan membantu skuad ragbi sehingga selesai temasya dwitahunan ini dan seterusnya melatih skuad ragbi tujuh sebelah lelaki negara untuk bertanding di Asia Rugby Sevens Series di Hong Kong pada 1 dan 2 Sept nanti.

Beliau yang pernah menjuarai lima kejohanan dunia (World Series) bersama dengan pasukan New Zealand melihat skuad negara berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan yang bermula 19 Ogos ini.

Filipina, Thailand pencabar utama

Sementara itu, Cocker berkata Thailand dan Filipina menjadi pencabar utama kepada skuad ragbi wanita manakala bagi lelaki, Filipina menjadi pencabar terdekat berikutan naturalisasi pemain yang dilakukan pasukan ragbi negara itu.

"Thailand dan Filipina merupakan pencabar utama bagi pasukan wanita kerana mereka menduduki ranking lebih tinggi serta prestasi baik. Mereka juga memiliki beberapa pemain berpengalaman yang telah lama berkecimpung dalam sukan itu.

"Bagi pasukan lelaki, pencabar terdekat ialah Filipina. Mereka miliki pemain yang dinaturalisasikan, yang bagi saya menggunakan itu sebagai batu loncatan untuk pemain dibenarkan beraksi," katanya.

Beliau berkata penampilan ramai pemain muda dalam temasya sukan kali ini dapat melahirkan lebih ramai pemain ragbi terbaik di masa hadapan seterusnya membantu negara meraih lebih banyak kejayaan dalam sukan ini.

"Bagi pasukan lelaki, mereka telah menjalani latihan dengan baik, saya telah bertemu dengan mereka di New Zealand selama dua minggu dan mereka telah menjalani latihan yang lebih lama daripada pasukan wanita. Mereka juga diberikan program latihan yang amat baik dan itu sekaligus meningkatkan keyakinan pemain.

"Sementara bagi pasukan wanita, ia masih belum mencapai ke tahap itu lagi, tetapi terdapat banyak pemain berbakat yang boleh bermain dengan baik. Saya telah bersama-sama dengan mereka sejak tahun lepas, kami akan hadapi satu perlawanan pada satu-satu masa dan membuat persediaan untuk perlawanan lain juga," katanya.

Bagi jurulatih skuad ragbi wanita Nik Safuan Ismade Nik Man, kehadiran Cocker banyak membantu beliau dalam menyiapkan mental pemain untuk berhadapan dengan pencabar utama sewaktu perlawanan berlangsung.

"Edwin merupakan contoh terbaik bagi New Zealand All Black dan dia ada banyak pengalaman dalam bermain ragbi 7's. Dia akan jaga mentaliti pemain dan ajar pemain untuk bukan sahaja menggunakan kudrat tetapi pemikiran. Pasukan yang bagus adalah pasukan yang boleh fikir strategi terbaik untuk menentang lawan.

"Sukan SEA dua tahun lepas, kita dapat tempat keempat, sasaran saya tahun ini kita nak rangkul pingat gangsa. Harap mereka dapat beraksi dengan cemerlang lebih baik daripada di Singapura dahulu," katanya.

Jurulatih skuad ragbi lelaki negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor berkata prestasi pasukan berada di tahap terbaik dan semakin bersemangat untuk mula beraksi pada Sabtu ini.

"Prestasi pasukan semakin lama semakin baik dan saya harapkan mereka dapat kekalkan prestasi dan buat yang terbaik semasa perlawanan nanti. Kita akan cuba yang terbaik dan berharap dapat hadiahkan pingat emas kepada negara," katanya.

Skuad ragbi tujuh sebelah lelaki negara meraih pingat perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura apabila kalah kepada Filipina dalam aksi final.

-Bernama

Lihat Komen
ADS