Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yakin mampu menjuarai acara perseorangan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), namun tidak memandang mudah saingan beberapa pemain dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Antara pemain yang bakal mencabar peluangnya untuk meraih pingat emas adalah dua pemain Indonesia Jonatan Christie yang kini berada di ranking ke-23 dunia dan Ihsan Maulana (47), Khosit Phetpradab (40) dan Suppanyu Avihingsanon (57) dari Thailand serta pemain raking ke-307 dunia, Loh Kean Yew dari Singapura.

Juara kebangsaan, yang kini di ranking ke-52 dunia, berkata pencabarnya hanya akan diketahui selepas pengundian acara itu pada 21 Ogos ini selepas acara berpasukan bermula.

"Lepas itu (undian) bolehlah saya merancang dan menambahbaik strategi yang akan digunakan pada hari pertandingan nanti," katanya kepada Bernama yang kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Ditanya mengenai tahap prestasinya, pemain berusia 26 tahun itu berkata prestasi beliau sudah semakin stabil dan mantap dengan adanya bantuan daripada ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek.

Iskandar, yang menjalani latihan intensif bersama Misbun sejak lima minggu lepas, berkata beliau telah mengenal pasti strategi pencabarnya melalui video perlawanan pihak lawan.

"Saya pernah beraksi menentang ramai pemain yang akan beraksi di KL2017, ada yang pernah menang dan juga tewas tapi yang saya yakin dengan bantuan Misbun, saya mampu buat yang terbaik," katanya.

Berrdasarkan rekod, Iskandar pernah mengalahkan Khosit Phetpradab di Terbuka Taiwan 2016, menang ke atas Suppanyu Avihingsanon di Terbuka Sri Lanka 2014, menang dua kali dengan Ihsan Maulana di Terbuka Indonesia 2010 dan 2012 serta sekali kalah di Terbuka Malaysia 2014 dan menewaskan Loh di Terbuka Indonesia 2013.

Bagaimanapun, beliau belum pernah berjumpa dengan Jonatan Christie.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS