Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kerana judi BAM gantung pemain junior
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 6:45 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan terhadap pemain juniornya dengan mengenakan tiga bulan penggantungan selepas didapati terlibat perjudian internet.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mengakui kesalahan itu kepada jurulatih beliau, selepas menghadapi masalah hutang kira-kira sebulan yang lepas.

“Pada dasarnya, ia lebih kepada pencegahan kerana kami tidak mahu pemain junior kami mempunyai masalah hutang selepas mereka menyertai BAM. Kami hanya kenakan penggantungan tiga bulan kerana pemain ini telah tampil ke hadapan dan mengakui kesilapannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Norza berkata pemain junior harus memberi tumpuan kepada karier badminton mereka, memandangkan BAM dan Kementerian Pendidikan telah menyediakan semua keperluan, termasuk elaun RM200, makanan dan penginapan.

Norza berkata tiada toleransi bagi sebarang aktiviti perjudian dan mengatur perlawanan dan BAM juga akan meningkatkan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) untuk memerangi isu tersebut.

“Kami mahu mereka menjauhkan diri daripada sebarang bentuk perjudian, sama ada ia sah atau haram, melibatkan badminton ataupun tidak. Ini adalah satu daripada inisiatif saya ketika mengambil alih BAM kerana saya mahu menghasilkan pemain yang sempurna, kuat dari segi mental dan fizikal dan bebas daripada masalah perjudian dan disiplin.

“SOP baharu akan mempunyai mekanisme pemantauan dan akan dimasukkan dalam kontrak pemain, jadi kami akan dapat mengenal pasti dan menahan pesalahnya. Kami juga berharap untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Berhubung perkara lain, Mohamad Norza berkata Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak, Abdul Hadi Datuk Kadir telah memberi taklimat kepada exco itu mengenai cadangan membina akademi badmintonnya sendiri di Kuching, selepas mendapat komitmen kerajaan negeri.

Sementara itu, skuad Sukan SEA telah mula menggunakan Axiata Arena (sebelum ini dikenali Stadium Putra) di Bandar Sukan Kuala Lumpur untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sejak semalam, katanya.

“Kami juga membuat keputusan menubuhkan pasukan sorak yang terdiri daripada 200 penyokong yang dikenali sebagai BAM Roar,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS