Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad memanah M'sia raih pingat perak dan gangsa
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 8:59 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Skuad memanah menghadiahkan satu pingat perak dan satu gangsa buat Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini.

Pada perlawanan di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) itu, pingat perak diraih melalui acara compound individu lelaki oleh Mohd Juwaidi Mazuki dan pingat gangsa melalui Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam acara compound individu wanita.

Namun pada saingan kelayakan, Fatin Nurfatehah memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 695 dan rekod kejohanan 686 milik pemanah Myanmar, Aung Ngeain, dengan membuat rekod baharu 696.

Mohd Juwaidi ketika ditemui media selepas perlawanan berkata beliau terlepas pingat emas ekoran terlalu memikirkan kemenangan.

"Saya akui pada panahan keempat ada masalah sikit apabila saya terlebih fikir namun untuk perlawanan hari ini agak bagus kerana melebihi pencapaian saya di Singapura, hanya raih pingat gangsa. Untuk esok bagi acara compound berpasukan, kami akan cuba dengan lebih baik dari hari ini," katanya.

Pemanah Indonesia, Prima Wisnu Wardhana menang tipis ke atas Mohd Juwaidi dengan mata 145-144, untuk meraih pingat emas dalam acara itu.

Pingat gangsa acara itu dimenangi pemanah Filipina, Paul Marton Dela Cruz yang menewaskan lawan dari Malaysia, Zulfadhli Ruslan (154-153).

Fatin Nurfatehah yang sebelum ini diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas kepada pemanah Vietnam, Chau Kieu Oanh 142-145 pada saingan separuh akhir.

Kekalahan tersebut membuatkan Fatin Nurfatehah beraksi menentang pemanah Indonesia Dellie Threesyadinda untuk merebut pingat gangsa, yang berakhir dengan kemenangan pemanah Malaysia dengan mata143-141.

"Saya akui menerima saingan sengit daripada Chau Kieu Oanh pada saingan separuh akhir. Kekalahan itu tidak melayakkan saya ke peringat akhir seterusnya gagal pertahankan pingat emas yang dibuat di Singapura.

"Maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana saya telah gagal pertahankan pingat emas ini namun saya akan tebus balik dengan kemenangan dalam acara compound berpasukan wanita dan compound campuran," kata Fatin Nurfatehah.

Beliau berharap dapat menghadiahkan pingat emas kepada ibu-bapanya yang datang menyaksikan pertandingan dari Kota Kinabalu.

Pingat emas acara itu dimenangi pemanah Indonesia, Sri Ranti manakala perak diraih Chau Kieu Oanh (144-143).

-Bernama

Lihat Komen
ADS