Paling Popular
Terkini

Skuad sepak takraw Thailand sedia maklum mengenai had penyertaan maksimun tiga kategori lelaki bagi negara lain kecuali tuan rumah, kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

Malah menurut beliau, Persatuan Takraw Thailand (TTA) menerima baik peraturan yang ditetapkan dan mengesahkan penyertaan dalam tiga kategori.

Katanya, isu kuota yang dibangkitkan media Thailand dan didakwa memberi kelebihan kepada Malaysia dengan penyertaan lima acara dipertandingan kini dianggap selesai.

"Jadi tak ada apa isu. Amalan ini sudah diguna pakai dalam semua Sukan SEA sejak 2009 di Laos, seterusnya di Indonesia pada 2011, Myanmar 2013 dan Singpura dua tahun lalu.

"Pasukan tuan rumah diberi kelebihan untuk menyertai lebih acara berbanding pasukan lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, media Thailand mendakwa Malaysia selaku tuan rumah telah meminta mereka tidak menyertai acara berpasukan lelaki yang dianggap sebagai kemuncak pingat emas sukan berkenaan.

Bagaimanapun isu itu dianggap selesai selepas Malaysia memberi penerangan mengenainya.

Acara sepak takraw lelaki menyediakan lima kategori, manakala wanita melibatkan tiga kategori.

Malaysia - seperti mana-mana tuan rumah lain - mempunyai kelebihan untuk menyertai semua kategori.

Bagi pasukan negara lain, mereka dibenarkan memilih tiga kategori untuk lelaki dan dua kategori wanita. Ia ditetapkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Sementara itu Ahmad berkata, Timbalan Presiden TTA, Boonchai Lorhpipat, menyatakan laporan akhbar Thailand itu bukanlah pendirian mereka.

"Thailand menerima baik dan mengakui (peraturan) ini adalah amalan yang dipratikkan sejak 2009.

"Mudah-mudahan mereka faham, begitu juga dengan penyokong-penyokong sukan sepak takraw," jelasnya.

Lihat Komen
ADS