Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Takraw: M'sia nafi sekat Thai sertai kategori regu lelaki

SUKAN SEA I Badan induk sepak takraw Malaysia menafikan dakwaan media Thailand bahawa skuad negara gajah putih itu diminta tidak menyertai kategori regu lelaki pada temasya Sukan SEA 2017.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, langkah itu pilihan mereka sendiri dan bukan dipengaruhi Malaysia sebagai tuan rumah.

"Kita tidak pernah melarang mana-mana negara untuk bertanding mengikut syarat ditetapkan. Kita menafikan perkara tersebut dan tiada lagi isu berbangkit.

"Thailand sudah membuat pilihan untuk menyertai kategori berpasukan, ‎beregu dan kuandran," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.‎

Ahmad berkata peraturan sedia ada bahawa mana-mana negara, kecuali tuan rumah, dibenarkan memilih mana-mana tiga daripada lima kategori yang dimahukannya.

Tuan rumah dibenarkan bertanding kesemua lima acara.‎

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang ditimbulkan beberapa akhbar Thailand, seperti The Nation dan Thai BPS.‎

The Nation pada 10 Ogos lalu melalui lidah pengarangnya mendakwa Malaysia meminta Thailand tidak menyertai kategori regu lelaki yang dianggap kategori paling berprestij dalam acara takraw.‎

Thailand dilaporkan akur dengan permintaan tersebut sebelum menyertai kategori berpasukan, beregu dan kuandran bagi acara sepak takraw lelaki.

Menurut akhbar itu, ramai peminat sukan negara jiran berang dengan tindakan yang dianggap berat sebelah dan melebihkan pasukan tuan rumah itu.

Sementara itu, Thai BPS pula sehari selepas itu melaporkan pengurus pasukan takraw Thailand Thawat Kumutpongpanich sebagai berkata Malaysia mahu bertanding dengan pasukan akhir dengan pasukan selain Thailand.‎

Kategori regu melibatkan persaingan satu pasukan mewakili negara masing-masing.

Kategori berpasukan melibatkan persaingan tiga pasukan mewakili setiap negara dan kuadran pula melibatkan satu pasukan dengan empat pemain.

Kuadran adalah satu baru yang diperkenalkan Malaysia dalam temasya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Thailand merupakan juara bertahan bagi kategori dengan memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Tanpa penyertaan skuad Gajah Putih bagi acara itu, Malaysia dilihat mempunyai peluang cerah selaku pasukan pilihan pada temasya kali ini untuk mengatasi pencabar lain seperti Myanmar, Indonesia, Vietnam.

Pada acara yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa itu, skuad Malaysia hanya mensasarkan dua pingat emas daripada lima kategori disertai, manakala bagi acara chinlone skuad negara sudah menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia melalui kategori chinlone liking, semalam.

Sementara itu, Ahmad berharap “spekulasi” yang ditimbulkan media asing itu tidak diperbesarkan kerana setiap negara diberikan kebebasan memilih acara yang mahu disertai.‎

"Dalam buku peraturan pertandingan sudah dijelaskan mengenai kebebasan untuk menghantar tiga daripada lima kategori sepak takraw," katanya.

Tambahan pula, katanya, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TTA),Boonchai Lorhpipat sendiri ‎dalam kenyataan media sebelum ini menyatakan mereka memilih menyertai kuadran untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Beliau ditanya mengapa Thailand tidak sertai kategori regu dan jawapannya menyataka pemain Thailand sudah beraksi dalam kategori berpasukan dan beregu.

"Jadi pemain mahu mencuba sesuatu yang baru dengan menyertai kategori kuadran," jelasnya.

Lihat Komen
ADS