Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kesal dengan penggunaan sistem teknologi yang tidak dapat dilaksanakan untuk acara tersebut dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) kerana kontraktor yang dilantik hampir setahun lalu tidak mampu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Video challenge atau “Dark Fish’ adalah sistem ‘hawkeye’ seperti digunakan dalam badminton, tenis dan bola sepak bagi mengkaji keraguan terhadap keputusan pengadil atau penjaga garisan bagi memantapkan integriti perlawanan dan keputusan yang dibuat.

Sistem itu dapat membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat jika dicabar dengan merujuk kepada ulang tayang rakaman video menerusi kamera berdefinisi tinggi (HD).

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail kesal dengan apa yang berlaku kerana sepatutnya acara regu berpasukan yang membuka tirai hari ini sudah menggunakan teknologi tersebut.

“Semalam, pihak kontraktor yang dilantik Masoc (Jawatankuasa Pengelola Malaysia) datang ke venue pertandingan untuk memasang kamera dan sistem berkenaan namun hasilnya masih sama dan gagal digunakan.

"Kita meminta sekurang-kurangnya enam buah kamera HD berkeupayaan merakam 100 frame per second (fps) untuk membolehkan 'video challenge' berjalan dengan baik tetapi mereka hanya membawa empat buah kamera dengan keupayaan merakam 50fps," katanya pada sidang media Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ahmad Ismail, buat masa ini tiada “video challenge” bagi acara regu berpasukan namun pihaknya masih memberi peluang kepada kontraktor terlibat untuk menyediakan teknologi itu bagi acara seterusnya.

Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa ( ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata perancangan awal adalah untuk melihat teknologi itu dilaksanakan di KL2017 supaya ISTAF dapat menilai dan aplikasi pada kejohanan dunia di India September depan.

"Kita mahu melihat bagaimana Malaysia menggunakan teknologi tersebut dan ISTAF boleh belajar daripadanya tetapi bila sudah jadi seperti ini, kami pun tidak dapat pendedahan yang seharusnya diterima di sini," katanya.

Sebelum ini, sebanyak dua kali PSM telah memanggil kontraktor yang diamanahkan untuk melakukan pelaksnaan percubaan teknologi tersebut dan yang terbaru ialah pada kejohanan sirkit remaja kebangsaan di Stadium Titiwangsa iaitu gelanggang rasmi KL2017 namun hasilnya tetap tidak memenuhi kriteria seperti yang dimahukan oleh PSM.

Perkara seperti ini pastinya akan memberi kesan yang negatif terhadap penganjuran KL2017 apabila semua pasukan yang bertanding sudah menggangap pasukan tuan rumah menyediakan teknologi 'video challenge' tetapi hakikatnya pada hari perlawanan teknologi berkenaan tidak dapat dilaksanakan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS