Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Thailand terus aibkan skuad takraw Malaysia
Diterbitkan:  Aug 19, 2017 2:17 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Skuad sepak takraw negara gagal menyaingi kehebatan musuh tradisi Thailand setelah tewas 0-3 pada perlawanan terakhir liga sepusingan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Regu pertama negara yang diketuai Mohd Farhan Adam bermula goyah apabila tewas straight set 15-21, 17-21.

Thailand ternyata bukan lawan Malaysia apabila regu kedua negara mudah dijinakkan regu negara Gajah Putih itu dengan catatan mata 10-21, 6-21.

Seakan mahu memadamkan luka yang tercalar, regu ketiga negara turun dengan penuh bersemangat, namun kehandalan Thailand sukar digugat apabila mereka menewaskan regu terakhir negara dengan keputusan 21-9, 21-8.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara terus kempunan untuk menjuarai acara itu selama 26 tahun yang kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA Manila 1991.

Kemenangan Thailand itu bermakna anak buah Kamol Tankinhong menggondol pingat emas kali ke-12 berturut-turut sejak Sukan SEA Singapura 1993 setelah mengutip keseluruhan enam mata dalam format liga sepusingan.

Sebagai rekod, Sukan SEA Manila 2005 tidak mempertandingkan acara regu berpasukan.

Indonesia menyambar pingat perak setelah mengumpul keseluruhan empat mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Brunei hari ini dan Malaysia juga dengan 3-0 (semalam).

Walaupun Malaysia menamatkan pertandingan di tempat ketiga dengan mengumpul dua mata keseluruhan, skuad negara tetap perlu berkongsi pingat gangsa bersama Brunei yang menduduki tangga tercorot berdasarkan format kejohanan yang tidak mempunyai perlawanan tempat ke-3/4.

-Bernama

Lihat Komen
ADS