Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

SUKAN SEA| Pemenang pingat perak acara kuda lasak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menganggap kemenangannya adalah hasil rezeki bersama ‘pasangan’ baru iaitu kuda, JQ Tuan Junior.

Mohd Bulkari Rozali, 29 berkata pingat itu juga adalah sesuatu yang istimewa dan mahu dihadiahkan kepada anak lelakinya Mohammad Wafiq Aufa yang menyambut hari ulang tahun kelahiran pertama semalam.

Menceritakan detik ‘perkenalan’ dengan kuda itu, Mohd Bulkari berkata, sebelum bermulanya kejohanan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) awal pagi tadi, beliau hanya sempat mengenalinya dengan melakukan tiga kali tunggangan sejauh 15 kilometer sahaja beberapa hari lepas.

Katanya, beliau tidak menyangka keserasian timbul secepat itu memandangkan kuda dari Uruguay tersebut adalah milik Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan masih tidak diketahui kelemahan serta kelebihan sebelum memulakan pertandingan sejauh 80 kilometer itu.

“Saya mempunyai tiga lagi kuda lain untuk dipilih tetapi mencuba nasib dengan kuda jantan ini dan mula menungganggnya dalam tiga kali pusingan beberapa hari lepas dan dapat meneka bagaimana untuk mengendalikannya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini selepas menerima pingat yang disempurnakan penyampaiannya oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Mohd Bulkari membuat catatan masa tiga jam 48 minit 40 saat manakala pemenang pingat emas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mencatat masa tiga jam 48 minit 36 saat dan pingat gangsa dimenangi Warit Khuntaraporn (Thailand) mencatat empat jam 16 minit lima saat.

Dalam meraikan kemenangan, Mohd Bulkari turut mengalirkan air mata ketika ditemu bual ekoran terkenang kembali perjalanan untuk meraih pingat itu memandangkan beliau pernah gagal menamatkan perlumbaan di Sukan SEA Myanmar 2013.

Malah tekadnya bagi menyertai sukan ini memaksa beliau melupakan hasrat untuk bertugas sebagai seorang anggota bomba yang juga diminatinya sejak kecil.

“Saya telah mendapat tawaran beberapa tahun lepas untuk berkhidmat sebagai bomba, tetapi apabila memikirkan perlu memberi komitmen dan ingin bertanding hingga ke peringkat dunia, cita-cita itu lebur begitu sahaja namun ia tetap melekat di dalam jiwa kerana terlalu meminati tugasan itu,” katanya.

Selain Sukan SEA Mohd Bulkari juga pernah menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2016 di Slovakia dan berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 160km di tempat ke-11.
-Bernama
 

Lihat Komen
ADS