Satu petinju mara, dua tumbang
SUKAN SEA | Petinju Malaysia RK Indran mara ke pusingan separuh akhir kategori middleweight (75kg) dalam misi meraih emas buat skuad negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Indran yang pertama kali beraksi di Sukan SEA menewaskan Henrique Martins Pereira dari Timor Leste, dan akan bertemu peninju Filipina Eumir Fellix Marcial pada Selasa ini.
Indran yang ditemui pemberita selepas pusingan suku akhir itu berkata kehadiran ibu bapa dan ahli keluarganya dari Taiping membakar semangatnnya untuk menang hari ini.
“Selain sokongan keluarga, saya hanya praktikkan segala yang saya pelajari daripada jurulatih di gelanggang,” kata anak didik Azmi Md Yunus itu.
Bagaimanapun dua lagi wakil negara Arfique Ahmad Anshori dan Abdul Salam Kasim tewas kepada lawan masing-masing pada perlawanan kalah mati hari ini.
Arfique tewas dengan kiraan mata 0-4 kepada wakil Thailand Chatchai Butdee dalam kategori bantam (56kg), manakala Abdul Salam ditundukkan peserta Filipina Ian Clark Bautista dengan kiraan mata 0-5 dalam kategori flyweight (52kg).
Walaupun tewas, Arfique berasa bangga kerana dapat bersaing dengan idolanya, Chatchai, yang pernah bersaing dalam Sukan Olimpik dan memenangi pingat gangsa dalam Kejuaraan Dunia 2013.
Arfique juga mengakui terdapat jurang besar antara dirinya dan pihak lawan.
“Dia (Chatchai) salah seorang idola saya, namun saya cuba atasi dia dan saya sudah buat semua yang jurulatih ajar tetapi saya tetap tidak boleh kalahkan dia juga. Saya sudah ubah cara perlawanan saya tetapi dia ada banyak idea lain,” katanya.
- Bernama

